KEDUDUKAN Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sama ada kekal sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) atau kembali berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan urusan pentadbiran Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, Mohd Shuhaily pada hakikatnya merupakan pegawai polis yang dipinjamkan secara kontrak untuk berkhidmat di AKPS.
Justeru, katanya, keputusan berhubung penempatan pegawai berkenaan tidak membabitkan campur tangan Jabatan Peguam Negara, sebaliknya tertakluk kepada pertimbangan pihak kementerian.
“Datuk Seri Shuhaily hakikatnya adalah seorang pegawai polis, namun dipinjamkan secara kontrak kepada AKPS.
“Sama ada Datuk Seri Shuhaily kekal di situ (AKPS) atau ditukarkan balik ke PDRM, itu kita tak campur tangan kerana ia lebih kepada soal pentadbiran di pihak kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan dan menyempurnakan penyerahan Prasarana Rekreasi Kampung Angkat MADANI Jabatan Peguam Negara di Kampung Kok Lanas, Kota Bharu hari ini, lapor BH.
KDN sebelum ini memutuskan untuk mengembalikan Mohd Shuhaily yang berkhidmat secara kontrak peminjaman kader sebagai Ketua Pengarah AKPS kepada PDRM.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, keputusan berkenaan dibuat minggu lalu.
Mengulas lanjut, Mohd Dusuki berkata, Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan serta memberikan nasihat sekiranya sesuatu perkara dirujuk kepada jabatan itu.





