BUDAYA politik kebencian bukan pendekatan yang wajar digunakan untuk meraih sokongan rakyat, sebaliknya pemimpin perlu mengutamakan kematangan berpolitik bagi mengekalkan keharmonian masyarakat.
Golongan belia berpandangan, perbezaan sokongan terhadap parti atau pemimpin politik bukan alasan untuk saling menghina dan bermusuhan, sebaliknya setiap pihak perlu menghormati pandangan berbeza.
APA KATA ANAK MUDA:

Alya berkata, perbezaan pendapat dalam politik sepatutnya dihormati dan dibincangkan secara matang, bukannya dijadikan alasan untuk bermusuhan.
Menurutnya, budaya saling menghina dan mengecam boleh mencetuskan pergaduhan, salah faham serta menghilangkan rasa hormat antara masyarakat.
“Pemimpin politik dan anak muda perlu menggunakan bahasa yang baik serta menghormati perbezaan pendapat.
“Politik sepatutnya digunakan untuk membincangkan masalah rakyat dan membangunkan negara, bukannya untuk menyebarkan kebencian atau menjatuhkan orang lain,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Danish Shah Safiuddin berkata, sikap terlalu taksub dengan pandangan politik masing-masing boleh menyebabkan perkara kecil bertukar menjadi pergaduhan sehingga menjejaskan hubungan antara keluarga, rakan dan masyarakat.

“Jangan gunakan kebencian sebagai cara untuk mendapatkan sokongan rakyat. Sebaliknya, tunjukkan contoh yang baik.
“Kepada anak muda pula, jangan terlalu taksub dengan politik sampai sanggup bermusuh dengan orang lain. Kita boleh berbeza pendapat, tetapi hormat-menghormati tetap perlu ada. Akhirnya, kita semua rakyat Malaysia,” katanya.
Nurul Ain Sakinah Mohd Noorpula berkata, budaya politik kebencian membimbangkan kerana perbezaan pendapat sepatutnya diraikan dan bukannya dijadikan alasan untuk bermusuhan.

Menurutnya, setiap individu berhak menyokong pemimpin atau parti politik pilihan masing-masing, namun perkara itu tidak seharusnya menghalang masyarakat daripada saling menghormati.
“Setiap individu mempunyai hak untuk menyokong pemimpin atau parti politik pilihan masing-masing. Namun begitu, kita perlu saling menghormati dan tidak menggunakan kata-kata yang boleh menyakiti hati orang lain,” katanya.
Beliau berkata, budaya saling menghina dan mengecam boleh merenggangkan hubungan masyarakat, termasuk persahabatan dan kekeluargaan, hanya disebabkan perbezaan pandangan politik.
Katanya, keadaan itu jika berterusan boleh menyebabkan masyarakat semakin berpecah belah dan hilang sikap saling menghormati.
“Kita boleh berbeza pendapat, tetapi jangan sampai memutuskan hubungan sesama manusia,” katanya.





