![]()
SEGALA masalah berkaitan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berjaya diselesaikan dengan baik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pembahagian jentera melibatkan kedua-dua pihak yang turun membantu dapat dilaksanakan secara tersusun.
Beliau berkata, kerjasama berkenaan akan diteruskan selepas PRN Melaka, malah dijangka menjadi lebih baik berdasarkan pengalaman pilihan raya sebelum ini.
“Insya-Allah akan diteruskan dan kita jangka kerjasama lebih baik, lebih baik setelah kita menerima pengalaman di Johor, Negeri Sembilan. Ini yang ketiga di Melaka.
“Insya-Allah (selepas ini kerjasama BN-PN di) peringkat Persekutuan, peringkat pusat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang kepada pemberita di Dewan Tun Ali, Hang Tuah Jaya hari ini.
Turut hadir memberikan sokongan kepada calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN)Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif, ialah Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Mengulas kemungkinan kerjasama turut diperkukuh di peringkat negeri termasuk Kelantan dan Terengganu, Abdul Hadi memberikan jaminan bahawa usaha berkenaan akan diteruskan.
“Insya-Allah ada kerjasama, kerjasama,” katanya.
Sementara itu melalui hantaran di Facebook, Presiden Wawasan Datuk Seri Hamzah Zainudin yakin ‘nikmat penyatuan’ PN-BN akan dikecapi dalam PRN Melaka.
Beliau berkata Wawasan telah bertindak sebagai jambatan antara Pas dan UMNO dan bersungguh-sungguh mengusahakan ‘penyatuan yang kita semua dambakan’ itu.
“Lebih menyentuh hati, bacaan doa yang dipimpin Pesuruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail, merangkap Ahli Parlimen Jasin — yang intipatinya mengenai penyatuan — dihayati dan diaminkan oleh semua Umno, Pas dan Wawasan.
“Inilah Gelombang Biru PN dan BN,” katanya.
Hamzah berkata, hasil penyatuan sudah dirasai di Negeri Sembilan. “Kemanisan awal sudah kita rasai di Negeri Sembilan. Kini jalinan murni ini sedang kita perkukuhkan,” katanya.





