PAKATAN Harapan (PH) akan mengutamakan kempen secara aman dan berhemah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan keyakinan rakyat berbanding pendekatan yang mencetuskan polemik politik.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya menyedari kemenangan pilihan raya bukan bergantung kepada parti atau calon yang paling lantang bersuara, sebaliknya ditentukan oleh tahap kepercayaan dan keyakinan pengundi.
“Kami akan ketengahkan kempen aman sebab kami insaf bahawa kempen pilihan raya bukan diukur kemenangan daripada pihak mana yang paling lantang.
“Tapi sebenarnya siapa yang paling dipercayai, paling diyakini,” katanya dalam sidang media harian Jabatan Pilihan Raya PH di Bilik Gerakan Utama PH di Bukit Katil hari ini.
Beliau berkata, PH turut menetapkan pendirian untuk menolak politik kebencian, sentimen perkauman serta serangan peribadi sepanjang tempoh berkempen.
Menurutnya, perbezaan pandangan politik perlu diraikan secara matang dan tidak seharusnya mencetuskan permusuhan sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat.
Justeru, PH akan memberi penekanan kepada penyampaian idea, dasar, rekod perkhidmatan serta tawaran penyelesaian terhadap isu yang dekat dengan kehidupan rakyat.
Pada PRN Melaka kali ini, PH mempertaruhkan 24 calon terdiri daripada 10 calon PKR, manakala DAP dan Amanah masing-masing diwakili tujuh calon.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian.





