SEORANG wanita berusia lingkungan 20-an diselamatkan anggota bomba selepas terjatuh ke dalam sungai berhampiran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Sabak Bernam, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.20 petang.
Beliau berkata, seramai lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, sebaik tiba, Komander Operasi melaporkan mangsa sudah terjatuh ke dalam sungai.
“Anggota bertugas kemudian membawa naik mangsa,” katanya menerusi kenyataan.
Ashrul Riezal berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.





