SETIAUSAHA Agung DAP Anthony Loke mengingatkan partinya supaya bersedia menghadapi PRU16 yang mencabar susulan kemungkinan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) diperluas ke peringkat nasional.
Berucap pada Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan, Loke berkata kerjasama BN-PN membawa cabaran baharu dalam landskap politik, dengan kedua-dua gabungan dilihat mahu memperluaskan kerjasama itu ke seluruh negara.
“DAP mesti cukup berani untuk menghadapi apa sahaja cabaran yang mendatang dan terus melakukan perkara yang betul, walaupun ia tidak semestinya memberikan keuntungan politik.
“Konvensyen hari ini mungkin yang terakhir sebelum kita menghadapi PRU16. Dalam tempoh 12 bulan akan datang, banyak kerja dan cabaran perlu kita hadapi, dan DAP Wilayah Persekutuan mesti membantu mempertahankan kerusi kita di Kuala Lumpur,” katanya lapor FMT.
Loke berkata kepimpinan parti telah melakukan bedah siasat susulan PRN Sabah pada November tahun lalu, yang menyaksikan DAP kehilangan semua kerusinya di DUN negeri itu.
Katanya, beberapa langkah telah dilaksanakan untuk mengukuhkan kembali sokongan terhadap DAP, namun parti itu perlu bersedia menghadapi cabaran lebih besar pada PRU16 dan tidak boleh berundur.
BN dan PN sebelum ini membentuk kerjasama rasmi pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos lalu dan memenangi majoriti dua pertiga, ketika Pakatan Harapan (PH) mengalami kekalahan besar.
Loke sendiri antara yang tewas apabila kehilangan kerusi Chennah yang disandangnya sejak 2013 kepada calon Siow Kong Choon.
BN dan PN sekali lagi bekerjasama bagi menghadapi PRN Melaka 14 Nov, dengan BN bertanding di 23 kerusi manakala PN di lima kerusi.





