USAHA memperkukuh keselamatan kanak-kanak di alam maya bakal diperluas ke peringkat serantau apabila tiga lagi negara ASEAN, iaitu Thailand, Brunei dan Kemboja menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Malaysia.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkembangan itu membolehkan lebih banyak negara Asia Tenggara menyelaraskan pendekatan dalam menangani ancaman keselamatan dalam talian, khususnya membabitkan kanak-kanak.
Menurutnya, kesepakatan dalam kalangan negara ASEAN penting bagi memastikan suara rantau ini lebih berpengaruh ketika berurusan dengan pengendali platform media sosial berskala besar.
“Jika keseluruhan atau majoriti pasaran di Asia Tenggara mula membangkitkan perkara yang sama, usaha kita akan menjadi lebih mudah kerana platform melihat rantau ini sebagai satu keseluruhan pasaran.
“Apabila kita bersatu, kita akan lebih kuat, terutama dalam mendepani platform-platform media sosial gergasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Kempen Internet Selamat anjuran Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Universiti Multimedia (MMU) Melaka di Ayer Keroh hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.
Malaysia menurut Fahmi ketika ini telah menjalinkan kerjasama dengan dua negara serantau iaitu Indonesia dan Singapura bagi mendepani platform-platform gergasi khususnya dalam memastikan tahap keselamatan internet di negara masing-masing terjamin.
Fahmi berkata, Malaysia turut meneliti pengalaman negara lain dalam melaksanakan langkah perlindungan terhadap pengguna muda, termasuk sekatan yang diperkenalkan Australia.
Katanya, perkembangan kes berkaitan isu berkenaan di Amerika Syarikat, khususnya di New Mexico, juga menjadi antara rujukan dalam merangka tindakan susulan.
“Kita juga mengambil tahu dan maklum tentang beberapa kes terbaharu di Amerika Syarikat, di New Mexico, dan hal ini sangat membantu untuk kita mengambil tindakan atau merancang langkah seterusnya,” katanya.
Sebelum ini, Fahmi dilaporkan berkata, Malaysia dan Indonesia bersetuju menjalin kerjasama antara agensi di peringkat pelaksanaan bagi menangani isu keselamatan kanak-kanak dalam talian, dengan Singapura turut dirancang untuk dilibatkan dalam usaha berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Kempen Internet Selamat sudah dilaksanakan di seluruh sekolah di negara ini, manakala MCMC akan terus menambah baik serta memperkukuh kandungan program berkenaan dari semasa ke semasa.





