BN yakin pencapaian,prestasi pentadbiran jadi penilaian pengundi atas pagar, kata Ab Rauf

BARISAN Nasional (BN) yakin pencapaian dan prestasi pentadbiran kerajaan negeri sepanjang lima tahun lepas akan menjadi antara faktor utama dinilai pengundi atas pagar dalam menentukan pilihan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 Nov ini.

Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata golongan pengundi berkenaan akan menilai hala tuju parti berdasarkan keupayaannya mengurus tadbir negeri serta keberkesanan pelaksanaan dasar dan inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Pengundi atas pagar ini dia lihat hala tuju kepada sesebuah parti yang akan diberikan mandat untuk mengurus tadbir mana-mana negeri ataupun negara.

“Jadi mereka ini akan melihat apa yang kita persembahkan kepada rakyat sewaktu kita mengurus tadbir negeri sebelum memilih,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan jentera pilihan raya BN di Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Melaka hari ini.

Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka berkata antara pendekatan kerajaan negeri dalam menarik golongan berkenaan ialah melaksanakan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), Hari Exco Bertemu Rakyat (HEBAT) dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, yang memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti serta menyelesaikan pelbagai permasalahan rakyat.

Beliau berkata pelaksanaan inisiatif berkenaan membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan setiap perancangan dan dasar diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Ab Rauf berkata menerusi program WRUR, kerajaan negeri berjaya menyelesaikan kira-kira 75 peratus daripada 4,800 aduan yang diterima melibatkan pelbagai keperluan dan permasalahan masyarakat.

Beliau berkata pencapaian itu merupakan antara hasil gerak kerja yang telah dilaksanakan lebih awal tanpa hanya bergantung kepada tempoh kempen pilihan raya untuk mendekati rakyat.

“Jadi kita dah buat kerja lebih awal supaya rakyat tidak ‘digula-gulakan’ sewaktu pilihan raya, sewaktu tempoh 14 hari (berkempen). Hal ini penting kerana kita mesti menjadikan jawatan kita sebagai wakil rakyat…. memberi perkhidmatan kepada rakyat, bukan rakyat berkhidmat untuk kita,” katanya.

Ab Rauf berkata antara elemen yang sering diperhatikan oleh golongan atas pagar juga merangkumi kemampuan setiap calon yang dipilih menjadi wakil rakyat memahami denyut nadi masyarakat, termasuk mendengar dan mengenal pasti masalah serta keperluan mereka.

“Yang pertama, wakil rakyat mesti jadi rakyat dulu, baru boleh jadi wakil rakyat. Dia kena tahu apa masalah rakyat, kena tahu apa keperluan rakyat, kena dengar apa rakyat cakap dan sampaikan kepada saya untuk saya menggariskan dasar yang boleh dibuat kerajaan pada masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata BN menyerahkan kepada rakyat untuk menilai segala usaha yang telah dilaksanakan kerajaan negeri sebelum menentukan mandat pada hari pengundian nanti.

“Saya harap apa yang telah kita buat, apa yang telah kita persembahkan akan menjadi satu ukuran yang terbaik untuk mereka terus memerlukan bersama-sama antara rakyat dengan kita menguruskan Melaka ini,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 Nov.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here