DATUK Seri Anwar Ibrahim mengingatkan penerima topi keledar percuma supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dengan memakai serta mengikat topi keledar dengan betul setiap kali menunggang motosikal.
Perdana Menteri berkata demikian ketika meluangkan masa menyantuni beberapa penerima topi keledar percuma ketika hadir menyaksikan perlumbaan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.
“Seronok dapat bersembang dan bertanya khabar dengan beberapa penerima topi keledar percuma menerusi inisiatif Kementerian Pengangkutan yang digerakkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Pesan saya, pastikan topi keledar ini dipakai dan diikat kemas. Keluar rumah dengan selamat, pulang pun biar selamat. Topi keledar baharu, semangat pun baharu!” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Inisiatif pengagihan topi keledar percuma itu merupakan antara usaha kerajaan meningkatkan tahap keselamatan penunggang motosikal, khususnya melalui penggunaan topi keledar yang memenuhi piawaian ditetapkan.
Penggantian topi keledar lama atau tidak mematuhi piawaian dengan yang baharu juga bertujuan mengurangkan risiko kecederaan serius sekiranya berlaku kemalangan.
Anwar berkata, menerusi Belanjawan 2026, sebanyak 70,000 unit topi keledar diperuntukkan untuk diagihkan kepada rakyat sebagai langkah meningkatkan keselamatan penunggang motosikal.





