Gagal keluarkan wang ATM, lelaki rosakkan lima mesin perbankan guna parang

TINDAKAN seorang lelaki merosakkan lima mesin perbankan menggunakan parang selepas gagal mengeluarkan wang daripada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) turut mengakibatkan seorang pemuda cedera parah dalam kejadian di Jalan Masjid Lama di Sarikei semalam.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintenden Aswandy Anis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.05 tengah malam apabila suspek berusia 38 tahun itu dipercayai merosakkan dua mesin ATM, dua mesin deposit tunai (CDM) dan sebuah mesin deposit cek di sebuah bank.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian kerana tidak berpuas hati selepas gagal mengeluarkan wang daripada mesin ATM berkenaan, selain mengaku berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian.

“Selepas kejadian, suspek dipercayai melarikan diri dengan memandu sebuah Toyota Hilux secara melawan arus sebelum melanggar pembahagi jalan di Jalan Masjid Lama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Aswandy, dalam kejadian itu, seorang pemuda berusia 21 tahun mengalami kecederaan parah pada tangan kiri selepas dipercayai dilibas menggunakan parang oleh suspek ketika cuba menghalangnya.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan lanjut, katanya.

Beliau memberitahu, suspek kemudiannya menyerah diri di Balai Polis Sarikei manakala polis turut merampas sebuah Toyota Hilux dan sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin dan benzodiazepin, manakala semakan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes ini , tambah beliau, disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan, Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here