![]()
PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari menghargai kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk dinamakan sebagai calon Ketua Menteri sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri, namun menegaskan kemenangan calon parti menjadi keutamaan ketika ini.
Beliau berkata, perbincangan mengenai pembentukan kerajaan dan jawatan Ketua Menteri hanya wajar diberi perhatian selepas keputusan pilihan raya diketahui, memandangkan ia bergantung kepada jumlah kerusi yang berjaya dimenangi.
“Kerana kita tahu proses pembentukan kerajaan itu banyak bergantung kepada jumlah kerusi yang kita menang,” katanya dalam sidang media harian PH di Bilik Gerakan Utama PH di Bukit Baru, hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari semalam menyifatkan Adly sebagai calon terbaik setakat ini untuk menerajui kerajaan negeri sekiranya gabungan itu memperoleh mandat dalam PRN Melaka.
Amirudin turut memaklumkan Adly mendapat persetujuan bersama dalam PH untuk dinamakan sebagai calon Ketua Menteri sekiranya gabungan itu memperoleh majoriti atau diberi kepercayaan membentuk kerajaan.
Adly bukan asing dalam pentadbiran negeri apabila pernah menjawat jawatan Ketua Menteri Melaka dari Mei 2018 hingga Mac 2020 selepas PH mengambil alih kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Dalam perkembangan sama, Adly yang juga calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil menggesa semua calon dan jentera PH menggunakan sepenuhnya baki tempoh kempen untuk mendekati pengundi serta mendapatkan sokongan mereka.
Katanya, fokus gabungan itu ketika ini tertumpu kepada usaha memastikan kemenangan di kesemua 24 kerusi DUN yang ditandingi, dengan keputusan akhir ditentukan melalui mandat rakyat.
“Saya fikir tugas kita dalam tempoh ini untuk memenangkan ADUN-ADUN kita. Dan yang boleh memenangkan hanya satu, iaitu undi daripada rakyat negeri Melaka. Itu fokus kita,” katanya.
Pengundian PRN Melaka ditetapkan pada 14 November ini, manakala pengundian awal berlangsung pada 10 November.
Sementara itu, Poay Tiong ketika ditemui selepas sidang media itu berkata, PH meletakkan harapan kepada penyertaan calon muda, termasuk daripada Generasi Z (Gen Z), untuk meraih sokongan lebih besar golongan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurut beliau, penampilan calon muda itu membuktikan kesungguhan PH memperjuangkan kepentingan generasi berkenaan, selaras dengan usaha gabungan itu sebelum ini menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun ketika menerajui Kerajaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Kota Melaka itu berkata, golongan muda, khususnya pengundi kali pertama, perlu memberi peluang kepada calon seusia mereka untuk membawa suara dan aspirasi generasi berkenaan dalam pentadbiran serta pembangunan kawasan masing-masing.
“Kita berharap generasi muda, khususnya pengundi kali pertama dan Gen Z, dapat memberikan sokongan padu kepada calon muda yang diketengahkan PH.
“Berikan mereka peluang untuk berkhidmat dan menjadi suara yang mewakili aspirasi anak muda di kawasan masing-masing,” katanya, lapor Buletin TV3.




