BAPA kepada lima anak dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah mencuri barangan pasar raya bernilai RM394 di Pasir Tumboh, bulan lalu.
Tertuduh, Wan Eskandar Wan Julihi, 43, didapati mencuri 12 peket susu formula bayi, sembilan peket Milo, minuman ringan, makanan ringan dan pembuka tin dari pasar raya PKT Pasir Tumboh pada 11 Oktober lalu.
Dalam alasan penghakiman bertarikh 1 November, Majistret R Vinoshen berkata, kesempitan hidup dan tanggungjawab keluarga yang ditanggung tertuduh tidak secara automatik membolehkan hukuman lebih ringan diberikan.
Beliau turut memetik peribahasa Tamil purba daripada karya Tirukkural yang membawa maksud seseorang tidak seharusnya melakukan perbuatan salah atau tidak bermoral walaupun ibunya sendiri sedang kelaparan.
“Walaupun melihat ibu sendiri kelaparan, seseorang tidak sepatutnya melakukan perbuatan tidak bermoral atau memalukan sehingga mengundang kecaman golongan bijaksana,” katanya, lapor Harian Metro.
Vinoshen berkata, mahkamah mengambil kira keadaan peribadi tertuduh, namun kepentingan awam dan keperluan memberikan pengajaran supaya pesalah tidak mengulangi kesalahan turut perlu dipertimbangkan.
Peguam tertuduh daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Nasrun Nazmi Nik Mohamad berkata, anak guamnya tidak bekerja dan baru dibebaskan dari penjara.
Beliau berkata, tertuduh mempunyai lima anak untuk ditanggung, membayar sewa rumah RM300 sebulan selain menghidap penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan psoriasis.
Katanya, tertuduh turut menyesali perbuatannya dan memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman lebih ringan.
Bagaimanapun, Vinoshen berkata, tertuduh bukan pesalah kali pertama kerana pernah disabitkan kesalahan menipu mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, mahkamah memandang serius perbuatan tertuduh yang masih melakukan kesalahan mencuri walaupun pernah menjalani hukuman penjara sebelum ini.
“Dalam keadaan sedemikian, adalah wajar mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan supaya tertuduh insaf dan tidak mengulangi perbuatannya,” katanya.
Menurutnya, pengakuan bersalah tertuduh merupakan faktor yang boleh meringankan hukuman kerana menjimatkan masa dan kos mahkamah, namun ia tidak bermakna seseorang tertuduh secara automatik berhak mendapat pengurangan hukuman.
Katanya, keputusan mahkamah terdahulu bagi kesalahan mencuri mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan menunjukkan hukuman penjara lazimnya antara satu hingga tiga tahun.
“Bagaimanapun, dalam kes ini, selepas mengambil kira faktor mitigasi tertuduh dan fakta kes, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara hanya enam bulan, iaitu lebih ringan berbanding trend hukuman sedia ada bagi kesalahan seumpama itu.
“Hukuman yang dijatuhkan juga setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli.





