SEORANG pemandu lori simen maut selepas kenderaan berat dipandunya terbabas sebelum terbalik ke dalam gaung di Jalan Pantu di Sri Aman hari ini.
Mangsa, Ngaji Sarit, 56, ditemukan tersepit dalam lori berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum berjaya dikeluarkan pasukan penyelamat kira-kira jam 4 petang.

Bagaimanapun, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.38 tengah hari sebelum menggerakkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman.
Menurutnya, jentera bomba tidak dapat memasuki kawasan kejadian menyebabkan anggota terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik pihak ladang untuk meneruskan perjalanan sejauh kira-kira 74 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, didapati sebuah lori simen terbalik ke dalam gaung dengan seorang lelaki tersepit di dalam kenderaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Kerja-kerja menyelamat dijalankan dengan bantuan dua jengkaut milik Awana Kapital sebelum mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat pada jam 4 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jurucakap itu berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.20 petang, katanya.





