JABATAN Peguam Negara (AGC) memulangkan semula kertas siasatan berhubung kes membabitkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini untuk tindakan lanjut.
AGC dalam kenyataan memaklumkan, kertas siasatan yang dikemukakan PDRM pada 30 Oktober lalu sudah diteliti secara menyeluruh sebelum beberapa tindakan tambahan dikenal pasti perlu dilaksanakan oleh pegawai penyiasat.

Menurut kenyataan itu, tindakan lanjut berkenaan perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dapat dibuat berhubung kes terbabit.
“Hasil penelitian menyeluruh mendapati beberapa tindakan lanjut perlu dilaksanakan oleh Pegawai Penyiasat sebelum sebarang keputusan dapat dibuat.
“Oleh yang demikian, kertas siasatan akan dikembalikan semula kepada PDRM pada hari ini untuk tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah.
Siasatan itu susulan dakwaan Menteri Besar bahawa beliau menandatangani proklamasi berkaitan pertukaran kedudukan institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ketika berada di bawah pengaruh tidak wajar.
Pemulangan kertas siasatan itu bermakna PDRM perlu melaksanakan tindakan tambahan yang diminta AGC sebelum hasil siasatan dikemukakan semula untuk pertimbangan lanjut.





