KETUA Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menafikan dakwaan terdapat 55 projek bermasalah di Melaka seperti dibangkitkan pihak pembangkang, sambil menjelaskan kebanyakan projek berkenaan berada di bawah penyelarasan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di peringkat Persekutuan.
Beliau berkata, sebahagian projek terbabit merupakan projek yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu, manakala urusan pelantikan kontraktor, penyerahan kerja dan pemantauan kebanyakannya dikendalikan Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri tidak berlepas tangan, sebaliknya sedang berusaha memperbaiki pelaksanaan projek yang berdepan masalah berkenaan.
“Ada projek daripada kerajaan negeri yang saya warisi untuk saya betulkan sekarang. Yang kedua, projek-projek yang berstatus masalah ini kebanyakannya projek daripada ICU Federal (Persekutuan).
“Jadi, lantikan kontraktor, penyerahan kerja, pengawalan, semua daripada pihak Persekutuan.
“Saya tahu dan saya sedang berusaha untuk mempertingkatkan semula projek-projek ini. Tapi tak betul itu 55 (projek bermasalah),” katanya ketika ditemui di Pengkalan Batu hari ini, lapor BH.
Semalam, Timbalan Setiausaha Agung PKR, G Sivamalar menggesa Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka memberikan penjelasan berhubung status 55 projek bermasalah yang didakwa berlaku di negeri itu.
Dalam perkembangan sama, Ab Rauf turut mempertikaikan dakwaan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli bahawa perbelanjaan kerajaan negeri meningkat tiga kali ganda berbanding hasil yang diperoleh.
Beliau menegaskan, pentadbiran negeri tidak pernah merekodkan perbelanjaan melebihi pendapatan sepanjang tempoh pemerintahannya.
“Itu saya tak tahu daripada mana maklumat itu didapati. Kita kerajaan negeri, saya tak nak komen kerana kalau kita lihat pada sudut pandangan mereka, memang dia akan mencari 1,001 alasan untuk merendahkan keupayaan kerajaan negeri,” katanya.
Sebaliknya, Ab Rauf berkata, prestasi pentadbiran negeri boleh dinilai menerusi pencapaian pelaburan yang direkodkan Melaka sebanyak RM14.8 bilion tahun lalu.




