JENAZAH pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Perak, semalam selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Singkir Laut di Yan petang tadi.
Jenazah Allahyarham Abd Halim Bakar, 64, dan isterinya, Siti Sara Abd Rahman, 58, tiba di kediaman mereka di Kampung Singkir Laut kira-kira jam 2 petang dengan menaiki van jenazah bagi membolehkan ahli keluarga dan kenalan memberikan penghormatan terakhir.
Kedua-dua jenazah kemudian dibawa ke Masjid As Syakirin, Kampung Singkir Laut untuk disolatkan sebelum dikebumikan kira-kira jam 5.30 petang selepas solat Asar.
Lebih 200 orang terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara, kenalan serta warga Universiti Malaysia Kelantan (UMK), termasuk pensyarah dan pegawai universiti itu, hadir mengiringi urusan pengebumian pasangan berkenaan, lapor Harian Metro.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 petang semalam, pasangan itu maut selepas kereta pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang dinaiki bersama anak lelaki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah bas persiaran membawa 30 penumpang.
Anak lelaki pasangan itu pula dilaporkan cedera parah dalam nahas tersebut.
Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan menghadiri Istiadat Konvokesyen UMK kali ke-16 bagi meraikan anak perempuan mereka, Husna Syakira Abd Halim, 24, yang berlangsung hari ini.





