Kerajaan sedia RM40 bilion subsidi bahan api, rakyat terus nikmati RON95 RM1.99

KERAJAAN kekal komited menyediakan hampir RM40 bilion bagi subsidi bahan api menerusi Belanjawan 2027 bagi melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga minyak global serta membendung ketirisan akibat penyeludupan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ketidaktentuan konflik di Asia Barat menyebabkan belum ada jaminan harga minyak dunia kembali stabil menjelang tahun depan.

Katanya, kerajaan perlu membuat persediaan menghadapi sebarang kemungkinan bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan perubahan harga bahan api di pasaran antarabangsa.

“Justeru, kerajaan perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan berusaha sehabis mungkin bagi memastikan rakyat terus dilindungi,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, lapor BH.

Beliau berkata, menerusi Program BUDI MADANI, rakyat akan terus menikmati harga petrol RON95 bersubsidi RM1.99 seliter bagi penggunaan sehingga 300 liter, berbanding harga sebenar RM4.42 seliter.

Diesel bersubsidi pula ditawarkan pada harga RM2.10 seliter bagi penggunaan sehingga 400 liter, berbanding harga sebenar RM5.27 seliter.

Amir Hamzah berkata, kerajaan mengambil pendekatan berbeza daripada cadangan sesetengah pakar ekonomi, termasuk Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan pakar tempatan, yang menyarankan harga bahan api serta elektrik ditentukan mengikut pasaran untuk semua pengguna, manakala bantuan tunai hanya diberikan kepada golongan miskin.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan MADANI tidak bersetuju dengan pendekatan berkenaan dan akan meneruskan dasar penyasaran subsidi bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang layak.

“Kita komited meneruskan penyasaran subsidi supaya rakyat terus dilindungi daripada kenaikan harga global, sementara ketirisan akibat penyeludupan dan manfaat subsidi dinikmati bukan warganegara dibendung.

“Justeru, komitmen hampir RM40 bilion ini adalah perlu untuk melindungi rakyat. Alhamdulillah, kita melaksanakan penyasaran subsidi sejak dua tahun lalu, yang memberi kita ruang untuk bertahan daripada krisis tenaga ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan sebanyak RM12 bilion telah disalurkan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang layak sehingga 31 Oktober lalu.

Hampir sembilan juta penerima atau 99.7 peratus telah menggunakan SARA, membabitkan nilai transaksi RM6.15 bilion, manakala SARA Untuk Semua mencatatkan penggunaan oleh 20.6 juta penerima atau 92 peratus dengan nilai transaksi melebihi RM1.95 bilion.

Mengenai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Amir Hamzah berkata, kerajaan akan memastikan dana tabung berkenaan mencukupi bagi membiayai pengajian pelajar.

Bagi menggalakkan pembayaran balik pinjaman, peminjam yang mempunyai rekod bayaran teratur serta tiada tunggakan akan diberikan diskaun 10 peratus.

Kerajaan turut menggalakkan majikan membantu melunaskan pinjaman PTPTN pekerja dengan menawarkan potongan cukai bagi tempoh 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2028.

Sementara itu, berhubung cadangan mengembalikan pengecualian bayaran pinjaman kepada graduan kelas pertama di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), beliau berkata, kerajaan bersama PTPTN akan meneliti perkara berkenaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here