Kamil persoal Hadi samakan CSA dengan ‘dajal’, ungkit MoU Pas ketika dalam kerajaan

KETUA Pemuda PKR, Muhammad Kamil Abdul Munim mempersoalkan tindakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyamakan perjanjian kepercayaan dan pembekalan (CSA) antara kerajaan dengan tujuh Ahli Parlimen pembangkang sebagai ‘dajal’, sedangkan parti itu pernah menyertai persefahaman politik ketika berada dalam kerajaan.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata, pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021, ketika Pas turut menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Menurutnya, walaupun dinamakan MoU, persefahaman itu turut mempunyai elemen CSA kerana bertujuan menjamin kestabilan kerajaan dan kelulusan Belanjawan 2022.

“Ketika Pas berada dalam kerajaan, persefahaman sedemikian dianggap perlu demi kestabilan negara. Tidak pula kedengaran istilah ‘dajal’ digunakan.

“Tetapi, apabila Pas berada di luar kerajaan, mekanisme politik yang serupa tiba-tiba dikaitkan dengan ‘dajal’. Apakah ini suatu kaedah baharu dalam politik Pas? Halal bagi kami, haram bagi kamu?,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu, Abdul Hadi menyifatkan CSA yang dimeterai kerajaan dengan tujuh Ahli Parlimen pembangkang sebagai penipuan dajal, yang merujuk kepada pembohong paling besar dan dikaitkan dalam Islam dengan tanda besar menjelang Hari Kiamat.

Dalam kenyataannya, Abdul Hadi mendakwa perjanjian itu mencerminkan pendekatan dajal pada akhir zaman apabila kuasa tidak lagi dianggap amanah untuk ditunaikan kepada rakyat, sebaliknya digunakan bagi memastikan kelangsungan pemerintahan.

Beliau turut berpandangan parti yang membentuk kerajaan wajib menunaikan tanggungjawab kepada rakyat tanpa perlu membuat aku janji terlebih dahulu.

Mengulas lanjut, Muhammad Kamil berkata, perbezaan pandangan mengenai CSA boleh dibincangkan, namun penggunaan istilah agama untuk menghukum sesuatu mekanisme politik perlu dielakkan.

“Kita boleh berbeza pandangan tentang CSA, malah boleh mempertikaikan syarat dan pelaksanaannya. Tetapi, janganlah sampai istilah agama digunakan untuk menghukum sesuatu yang dahulunya diterima ketika berada dalam kerajaan.

“Agama mengajar kita berlaku adil dan berpegang pada prinsip, bukan menyediakan dua ukuran berbeza mengikut siapa yang sedang berkuasa,” katanya.

CSA berkenaan ditandatangani Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama lima Ahli Parlimen parti itu serta Ahli Parlimen Muar daripada Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Perjanjian itu membolehkan tujuh wakil rakyat berkenaan mendapat akses kepada peruntukan pembangunan kawasan Parlimen, selain menetapkan dua reformasi utama yang perlu dilaksanakan kerajaan sebagai balasan kepada sokongan mereka.

Dua reformasi itu membabitkan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri serta memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebelum tamat penggal Parlimen.

Sebagai perbandingan, MoU yang ditandatangani kerajaan Ismail Sabri bersama PH pada 13 September 2021 menetapkan kerajaan tidak membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai 2022.

PH pula bersetuju menyokong atau berkecuali dalam pengundian Belanjawan 2022 dan rang undang-undang perbekalan, selain tidak menyokong usul undi tidak percaya terhadap kerajaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here