POLIS menahan seorang wanita yang dipercayai mengganggu pengunjung serta memukul orang awam, termasuk dua kanak-kanak di sebuah pusat beli-belah di ibu negara baru-baru ini, di Bandar Sri Damansara, petang tadi.
Suspek berusia 25 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.40 petang bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang dilaporkan berlaku kelmarin (1 November lalu).
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, siasatan awal mendapati wanita tempatan itu mengaku terbabit dalam kejadian berkenaan.
“Polis sudah menahan seorang wanita warga tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes mengganggu pengunjung dan pelanggan di sebuah pusat beli-belah yang dilaporkan pada 1 November lalu.
“Hasil siasatan awal dan soal siasat pihak polis mendapati suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, polis mengesan wanita berkenaan selepas menerima tiga laporan berhubung tindakannya yang didakwa menolak dan memukul pengunjung di pusat beli-belah terbabit.
Polis turut menerima satu lagi laporan daripada seorang mangsa yang mendakwa wanita itu menolak serta memukul dua anaknya dalam kejadian pada hari sama.
Kejadian itu mendapat perhatian selepas rakaman video berdurasi 35 saat memaparkan pertengkaran antara bapa kanak-kanak terbabit dengan wanita berkenaan tular di platform Threads dan Facebook.





