Pas pernah sokong MoU, mengapa Hadi sifatkan CSA pendekatan dajal?  – Dr.Rusdi Omar

PAS perlu menjelaskan asas pendiriannya yang menyifatkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan atau Confidence and Supply Agreement (CSA) sebagai pendekatan dajal pada akhir zaman, sedangkan parti itu sebelum ini pernah menyambut baik kerjasama politik rentas parti ketika berada dalam kerajaan.

Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Rusdi Omar berkata, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu menimbulkan persoalan mengenai konsistensi pendirian parti berkenaan dalam menilai mekanisme kerjasama politik.

Katanya, kritikan terhadap dasar kerajaan merupakan hak demokratik setiap pemimpin, namun penggunaan istilah keagamaan yang berat seperti dajal memerlukan asas agama, fakta dan penghujahan yang jelas.

Menurutnya, sesuatu perjanjian politik perlu dinilai berdasarkan kandungan, ketelusan pelaksanaan dan manfaatnya kepada rakyat, bukannya semata-mata melalui analogi keagamaan.

“Jika kerjasama rentas parti sebelum ini dianggap sebagai pendekatan matang, apakah prinsip yang menyebabkan kerjasama seumpama itu pada 2026 diberikan penilaian yang begitu berbeza?” katanya kepada utusanmelayuplus.

Beliau berkata, pada 13 September 2021, kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama Pakatan Harapan (PH).

Katanya, kerajaan ketika itu turut dianggotai pemimpin Pas, termasuk Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Malah, Tuan Ibrahim pada 14 September 2021 secara terbuka menyambut baik MoU berkenaan dengan mengaitkannya kepada kepentingan negara ketika pandemik COVID-19 serta pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera.

Rusdi berkata, walaupun MoU berkenaan tidak sepenuhnya sama dengan CSA, kedua-duanya berkongsi prinsip kerjasama antara kerajaan dengan pembangkang bagi menjamin kestabilan politik serta melaksanakan pembaharuan.

Rusdi berkata, pendirian Pas pada 2024 juga memperlihatkan parti itu pernah terlibat dalam rundingan berkaitan MoU peruntukan kepada pembangkang, namun menolak cadangan berkenaan kerana tidak bersetuju dengan beberapa syarat dalam draf kerajaan.

Beliau turut berpandangan sokongan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap CSA dan cadangan memperluaskannya kepada parti politik lain wajar diberikan perhatian.

Katanya, Ahmad Zahid pada 31 Oktober lalu menyifatkan CSA sebagai perkembangan positif yang membolehkan parti politik bekerjasama menangani permasalahan rakyat.

“Jika CSA dilihat sebagai mekanisme yang bermanfaat dan wajar diperluas, bagaimana pula pendirian tersebut diselaraskan dengan pandangan Abdul Hadi yang memberikan gambaran sebaliknya?” katanya.

Menurutnya, perbezaan pendirian antara UMNO dan Pas juga wajar diperjelaskan memandangkan kedua-dua parti sedang bekerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, kerjasama politik yang matang memerlukan kesepahaman terhadap prinsip asas, bukan sekadar persetujuan untuk menghadapi pilihan raya.

Dalam pada itu, Rusdi berpandangan cadangan Ahmad Zahid untuk memperluas CSA wajar dipertimbangkan bagi memudahkan penyelesaian masalah rakyat merentasi perbezaan politik.

Katanya, wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang belum menyertai perjanjian itu juga boleh mempertimbangkan rundingan dan penerimaan CSA, tertakluk kepada syarat yang adil, telus serta tidak menjejaskan kebebasan mereka sebagai pembangkang.

“Jika terdapat peruntukan yang dianggap tidak sesuai, pendekatan lebih konstruktif ialah mengemukakan pindaan dan cadangan balas. Kepentingan pembangunan kawasan, kebajikan rakyat dan reformasi institusi sepatutnya menjadi keutamaan bersama,” katanya.

Mengulas penggunaan istilah dajal, Rusdi berkata, perkara itu memerlukan penelitian lebih mendalam kerana al-Masih al-dajal mempunyai pengertian khusus dalam ajaran Islam berdasarkan hadis sahih.

Katanya, penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Bayan Linnas Siri Ke-161: Dajjal: Hakikat dan Tanda Akhir Zaman (2019) menjelaskan bahawa al-Masih al-dajal merupakan seorang manusia sebenar yang kemunculannya pada akhir zaman diterangkan melalui hadis sahih.

Beliau berkata, penggunaan istilah dajal secara umum bagi merujuk kepada golongan pendusta dan penipu juga perlu dibezakan daripada pengertian al-Masih al-dajal.

“Justeru, mengaitkan sesuatu perjanjian politik seperti CSA dengan pendekatan dajal memerlukan penghujahan yang jelas mengenai unsur pendustaan, penipuan atau penyelewengan yang didakwa wujud dalam perjanjian berkenaan.

“Persoalannya, apakah unsur pendustaan, penipuan atau penyelewengan yang dimaksudkan dalam CSA tersebut?” katanya.

Beliau turut mengingatkan pemimpin politik supaya berhati-hati dalam menggunakan bahasa, khususnya apabila kenyataan yang dikeluarkan membabitkan istilah keagamaan sensitif dan berpotensi menimbulkan prasangka serta perpecahan masyarakat.

Katanya, prinsip akhlak Islam turut menuntut umatnya mengelakkan perbuatan mencela, menghina dan memberikan gelaran buruk kepada pihak lain sebagaimana terkandung dalam Surah al-Hujurat ayat 11.

Menurutnya, kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan juga bukan kebebasan mutlak kerana terdapat peruntukan undang-undang bagi menangani komunikasi yang memenuhi unsur kesalahan.

Beliau berkata, Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan antara peruntukan yang boleh diteliti berdasarkan sifat komunikasi dan unsur kesalahan yang ditetapkan undang-undang.

Rusdi berkata, CSA tetap boleh diperdebatkan dan dikritik, khususnya berkaitan kesaksamaan agihan peruntukan, kebebasan pembangkang serta ketelusan pelaksanaannya.

Namun, katanya, Pas perlu menjelaskan mengapa pendekatan kerjasama rentas parti yang pernah disambut baik ketika parti itu berada dalam kerajaan kini diberikan penilaian yang begitu berbeza.

“Politik yang benar-benar berteraskan amanah, keadilan dan nilai Islam sewajarnya diukur melalui kejujuran dalam berhujah, konsistensi pendirian, keberkesanan reformasi serta manfaat yang diterima rakyat, bukannya melalui penggunaan istilah keagamaan yang boleh mengundang perpecahan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here