Solat Zuhur ganti Jumaat di Masjid Kuala Klawang tidak sah – Mufti NS

JEMAAH yang menunaikan solat Zuhur sebagai ganti solat Jumaat di Masjid Jamek Kuala Klawang, Jelebu pada 30 Oktober lalu diwajibkan mengqada semula solat berkenaan kerana ia tidak sah.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin berkata, keputusan itu dibuat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan selepas bermuzakarah pada 3 November lalu bagi meneliti isu kegagalan pelaksanaan solat Jumaat di masjid berkenaan.

Beliau berkata, solat Jumaat merupakan kewajipan fardu ain ke atas setiap lelaki Islam yang mukalaf, merdeka dan bermastautin, berdasarkan nas al-Quran, al-Sunnah serta ijmak ulama.

“Setiap individu tidak dibenarkan menunaikan solat Zuhur sebagai ganti kepada solat Jumaat, selagi mana solat Jumaat masih boleh didirikan dalam waktu Zuhur di tempat berkenaan.

“Solat Zuhur ditunaikan pada hari Jumaat tanpa keuzuran dibenarkan syarak, sedangkan kewajipan solat Jumaat masih tertanggung ke atas individu berkenaan, adalah tidak sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, keputusan itu terpakai apabila sesebuah masjid atau surau ditetapkan pihak berkuasa agama sebagai tempat pelaksanaan solat Jumaat bagi sesuatu kawasan kariah dan syarat wajib solat Jumaat dipenuhi.

Katanya, meninggalkan solat Jumaat dengan sengaja tanpa keuzuran yang dibenarkan syarak adalah berdosa, justeru umat Islam yang tertakluk kepada kewajipan itu perlu mengutamakan pelaksanaannya.

“Masjid dan surau ditentukan sebagai tempat pelaksanaan solat Jumaat oleh pemerintah adalah tempat penyatuan ummah, lambang syiar Islam serta medan pelaksanaan perintah Allah SWT.

“Sehubungan itu, memelihara fungsi institusi itu serta memastikan solat Jumaat dapat dilaksanakan adalah tanggungjawab bersama pihak berkuasa agama, jawatankuasa kariah dan seluruh umat Islam,” katanya.

Faudzinaim turut menasihatkan umat Islam di negeri ini supaya tidak mengambil mudah kewajipan solat Jumaat, selain mengutamakan pelaksanaan ibadat dan mengelakkan perselisihan ketika berada di masjid serta surau.

Beliau berkata, semua pihak yang diberikan amanah menguruskan masjid dan surau perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan penuh integriti bagi memastikan syiar Islam terus terpelihara.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here