STR Fasa 4 mula disalur hari ini kepada 5.4 juta penerima – MoF

SEBANYAK 5.4 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan mula menerima bayaran Fasa 4 secara berperingkat mulai hari ini, dengan pembayaran kepada penerima sedia ada dijadualkan berlangsung dari 4 hingga 6 November ini.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penerima baharu serta pemohon rayuan yang diluluskan pula akan menerima bayaran bermula 16 November depan.

Kementerian itu memaklumkan, daripada jumlah keseluruhan penerima, empat juta terdiri daripada isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah, manakala 1.4 juta lagi membabitkan warga emas yang tiada pasangan.

Menurut MoF, penerima yang mempunyai akaun bank akan menerima bayaran secara kredit terus ke akaun masing-masing, sementara mereka yang tidak mempunyai akaun bank boleh menuntut bantuan secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Dalam masa sama, katanya, sebanyak 1.68 juta penerima yang tidak mengemas kini maklumat permohonan selama tiga tahun berturut-turut telah dihubungi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) supaya berbuat demikian bagi memastikan bantuan terus disalurkan kepada golongan yang layak.

“Bagi pembayaran Fasa 4, isi rumah layak menerima bantuan sehingga RM500, manakala warga emas tiada pasangan akan menerima RM150.

“Daripada empat juta penerima kategori isi rumah, seramai 2.8 juta merupakan golongan berpendapatan RM2,500 ke bawah yang layak menerima bayaran antara RM150 hingga RM500,” kata kenyataan MoF hari ini.

Kementerian itu memberitahu, baki 1.2 juta penerima pula terdiri daripada isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000 yang akan menerima bantuan sehingga RM250.

MoF turut memaklumkan, peruntukan keseluruhan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi 2026 berjumlah RM15 bilion, iaitu hampir tiga kali ganda berbanding pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 2016.

“Orang ramai turut diingatkan supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan, selain mendapatkan maklumat terkini hanya melalui portal rasmi,” kata MoF.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, penyaluran STR dan SARA merupakan usaha kerajaan mengagihkan sebahagian hasil negara kepada kelompok masyarakat yang memerlukan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, bantuan berkenaan bertujuan memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan lebih bermaruah tanpa mengira kaum dan agama.

“Menjelang sambutan Deepavali, besarlah harapan saya agar penyaluran STR Fasa 4 ini dapat sedikit sebanyak meringankan perbelanjaan keluarga yang meraikannya, khususnya kaum India yang merupakan antara penerima utama STR dengan lebih 630,000 penerima, di samping membantu penerima lain mengurus keperluan harian dan perbelanjaan akhir tahun.

“Bantuan ini melengkapi usaha kerajaan untuk memperkukuh ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here