DUA anggota polis yang mendakwa dikasari Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memfailkan saman sivil terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) itu di Mahkamah Sesyen Sepang, semalam.
Lans Koperal Muhammad Ekmal Sofwan Driman dan Lans Koperal Mohammad Faiz Muhamad selaku plaintif memfailkan writ saman serta pernyataan tuntutan menerusi firma guaman Tetuan Kamal Hisham & Associates.
Mohd Shuhaily dinamakan sebagai defendan tunggal dalam tindakan itu yang membabitkan empat kausa tindakan, iaitu tort penahanan salah, tort serangan, tort bateri dan tort fitnah menerusi saman sivil berkenaan.
Peguam yang mewakili kedua-dua plaintif, Kamal Hisham Ja’afar dan Muhammad Nor Tamrin berkata, saman itu difailkan kerana kejadian berkenaan didakwa berlaku akibat tindakan Mohd Shuhaily atas kapasiti peribadinya, tanpa membabitkan kerajaan Malaysia.
Dalam kenyataan hari ini, mereka berkata, anak guam masing-masing percaya tindakan sivil itu merupakan saluran sewajarnya untuk mendapatkan keadilan.
Mereka turut menghargai pendirian kerajaan yang menegaskan semua pihak tertakluk kepada undang-undang sedia ada.
Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap kedua-dua anggota polis berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Mohammad Faiz dan Muhammad Ekmal Sofwan antara jam 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari, pada 28 September lalu.
Kejadian didakwa berlaku berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.





