Pelaburan bernilai tinggi buka lebih banyak peluang pekerjaan matlamat Azman

PELABURAN bernilai tinggi bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan bergaji lumayan untuk anak muda adalah antara fokus calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput Datuk Azman Abidin jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Calon Pakatan Harapan (PH) itu berkata Paya Rumput sudah mempunyai beberapa kawasan perindustrian yang menempatkan banyak perusahaan kecil dan sederhana serta berpotensi untuk dikembangkan menerusi kemasukan pelaburan baharu, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

“Jadi saya melihat dengan kemasukan pelabur dalam sektor bernilai lebih tinggi akan mampu meluaskan pilihan kerjaya bagi anak tempatan yang kini bekerja di luar kawasan itu.

“Anak-anak muda ini kalau ada peluang pekerjaan di sini, mereka takkan pergi berhijrah ke luar. Tapi kita kena lihat apa yang boleh ditawarkan kepada mereka,” katanya kepada Bernama selepas beramah mesra bersama masyarakat Cheng Perdana di Taman Bertam Jaya, Melaka malam tadi.

Dalam pada itu, beliau berkata antara perkara lain yang membimbangkannya ialah kadar kemiskinan dalam kalangan penduduk di DUN itu, terutama keluarga yang masih sukar menampung keperluan harian meskipun menerima bantuan.

Azman berkata sepanjang berkempen bagi PRN Melaka sejak 31 Okt, beliau telah menziarahi puluhan rumah yang daif, dengan sebahagian penduduk mengadu tentang kesulitan hidup mereka.

“Saya nampak golongan yang miskin, maksudnya golongan di bawah B40 ini masih agak kritikal di sini. Memang sebahagian mereka menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Majlis Agama Islam Melaka tetapi masih tidak mencukupi.

“Jadi saya melihat usaha menarik pelaburan baharu dan memperbanyak industri kecil dan sederhana (IKS) sebagai antara jalan keluar daripada kemiskinan bagi keluarga terbabit kerana peluang pekerjaan yang diwujudkan boleh membantu anak-anak mereka menyumbang kepada pendapatan isi rumah,” katanya.

Pada PRN Melaka kali ini, Azman yang bertanding buat kali pertama berdepan saingan tiga penjuru di Paya Rumput dengan Rafie Ahmad daripada Perikatan Nasional (PN) dan Abdul Rashid Abu Bakar daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian, manakala pengundian awal pada 10 Nov.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here