SEORANG pegawai pendidikan maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah Toyota Hilux yang dipercayai menukar lorong secara tiba-tiba di Kilometer 282.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, kejadian kira-kira jam 3 petang itu membabitkan motosikal Yamaha XMax ditunggang mangsa berusia 40-an dan Toyota Hilux dipandu lelaki dalam lingkungan usia sama.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan dalam perjalanan dari Putrajaya menghala ke Seremban.
“Toyota Hilux sedang bergerak di lorong kedua dari kanan, manakala motosikal berada di lorong paling kanan.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pikap itu dipercayai secara tiba-tiba menukar lorong ke kanan, menyebabkan motosikal merempuhnya sebelum terbabas ke penghadang jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala ujian saringan air kencing terhadapnya didapati negatif.
Beliau berkata, pemandu pikap itu ditahan dan direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Nilai di talian 06-790 4389 atau Pegawai Penyiasat Trafik Daerah Nilai, Inspektor Zakaria Mohamad Jais menerusi talian 019-699 0142.





