Kenyataan bercanggah: Zahid diminta beri penjelasan di Dewan Rakyat

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diminta memberi penjelasan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya Khamis depan berkait dakwaan percanggahan kenyataan projek Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKDW) seperti diarahkan Speaker Tan Sri Johari Abdul.

Zahid yang juga Menteri KKDW   diminta berbuat demikian dalam surat bertarikh 4 November dikeluarkan Johari.

Ia susulan usul dikemuka Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin, kelmarin, untuk merujuk Ahli Parlimen Bagan Datuk itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12) kerana dikatakan mengeluarkan kenyataan mengelirukan dewan.

“Sehubungan itu, dipohon Yang Amat Berhormat dapat memberikan penjelasan terhadap perkara ini dan mengemukakan bukti atau dokumen yang menyokong penjelasan itu, selewat-lewatnya pada Khamis, 12 Nov 2026,” kata surat berkenaan yang ditandatangani Johari selepas ditunjukkan Zhemin pada sidang media, di Parlimen,lapor Berita Harian.

Zhemin berkata, beliau berharap Zahid dapat membuat penjelasan berkenaan dan menarik balik kenyataannya sebelum ini.

“Saya bangkitkan isu ini pada Isnin tapi menteri tidak ada, jadi speaker minta saya beri usul bertulis. Jadi saya masukkan usul atas arahan speaker. Kes ini sudah mengambil banyak hari dan saya rasa, kita sudah semakin jelas mengenai apa yang berlaku,” katanya.

Ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, Isnin lalu, Zhemin mendakwa berlaku percanggahan kenyataan Zahid dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berhubung projek pembangunan luar bandar yang dikatakan dikorbankan bagi membiayai peruntukan projek lain.

Zhemin berkata, ketika sesi penggulungan KKDW pada 26 Okt, beliau bertanya kepada Ahmad Zahid mengenai projek yang dikorbankan jika notis perubahan (NOC) digunakan bagi mendapatkan dana dan Ahmad Zahid ketika itu menjawab tiada sebarang projek dikorbankan.

Namun, Zhemin mendakwa, jawapan itu bercanggah dengan kenyataan Amir Hamzah ketika sesi penggulungan Kementerian Kewangan, Khamis lalu, yang menjelaskan tatacara pengurusan kewangan membolehkan pengagihan semula dibuat menerusi NOC bagi memenuhi keperluan projek, namun penambahan peruntukan bagi Program Jalan Luar Bandar (JALB) menyebabkan pengurangan peruntukan kepada program lain.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here