SEORANG pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kerana disyaki menyeleweng wang kutipan hasil bayaran pemprosesan pelan bangunan berjumlah kira-kira RM63,000.
Suspek wanita berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
Menurut SPRM, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2022 hingga 2023 dengan mengeluarkan resit yang disyaki palsu bagi bayaran pemprosesan pelan bangunan.
“Bagaimanapun, wang kutipan berkenaan dipercayai tidak dimasukkan ke dalam Akaun Hasil PBT tempat suspek bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.





