ENAM pegawai Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima Anugerah Akreditasi dalam Perhubungan Awam (APR) 2026 daripada Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM).
Pengiktirafan itu diberikan selepas kesemua pegawai terbabit berjaya memenuhi syarat akreditasi ditetapkan, termasuk menyiapkan kajian kes atau penerbitan penyelidikan perhubungan awam, menghadiri sesi temu duga serta melengkapkan dokumentasi diperlukan.
Mereka diketuai Pengarah BKS SPRM, Hisyam Mohd Yusoff, bersama Timbalan Pengarah BKS, Badrila Jamlus; Ketua Cawangan Multimedia BKS, Azrai Mohammad; Mohd Helmi Faiz Ali; T Rama Maheswaran dan R Ganesh.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (Japen), Erwin Khairul Ahmad berkata, IPRM yang ditubuhkan pada 1962 memainkan peranan penting dalam memperkukuh profesion perhubungan awam di negara ini.
Beliau berkata, bidang komunikasi akan terus relevan meskipun berdepan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI), memandangkan profesion itu masih memerlukan sentuhan manusia.
“Kerjaya dalam bidang komunikasi tidak akan pupus dan akan berterusan, terutamanya dalam era AI. Meskipun profesion ini semakin mencabar, ia masih memerlukan sentuhan manusia dalam menguruskan komunikasi secara strategik, khususnya media sosial dengan lebih bermakna, beretika dan berkesan.
“Walaupun AI mampu menjana teks atau merangka draf dengan pantas, teknologi tidak mempunyai elemen teras seperti empati dan integriti yang diperlukan dalam komunikasi profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah IPRM APR 2026 dan Anugerah Kecemerlangan Perhubungan Awam (PR) dan Komunikasi untuk Pelajar Terbaik Persatuan Pelajar IPRM (IPRMSA) 2026 di Dewan Serbaguna, Menara Komunikasi, Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Akreditasi IPRM, Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Syed Abdullah Idid; Presiden Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia (MACE), Prof Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin dan bekas Presiden IPRM, Datuk Seri Ibrahim Abdul Rahman.
Sementara itu, Presiden IPRM, Jaffri Amin Osman berkata, buat julung kali penerima APR akan diberi peluang mengendalikan latihan atau bimbingan menerusi IPR di beberapa negara ASEAN termasuk Indonesia, Singapura dan Filipina.
Menurutnya, pengiktirafan itu diharap dapat meningkatkan profesionalisme, memperkukuh kepakaran komunikasi strategik serta mengangkat industri perhubungan awam Malaysia ke tahap lebih tinggi.
Beliau berkata, sebanyak 37 permohonan diterima tahun ini daripada pelbagai sektor termasuk agensi kerajaan, universiti, syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Daripada jumlah itu, sebanyak 34 individu berjaya melepasi penilaian akhir yang merangkumi sesi temu duga bersama panel pengamal kanan industri.
Dalam pada itu, Hisyam berkata, pencapaian berkenaan merupakan pengiktirafan terhadap peranan dan kepakaran BKS khususnya serta SPRM secara keseluruhan.
“Pencapaian ini akan menjadi pemangkin kepada penerima untuk terus menyumbang bukan sahaja kepada SPRM, malah kepada bidang perhubungan awam negara,” kata beliau.





