MASJID At-Taqwa di Kampung Beris Tok Ku, Jalan Permaisuri di Setiu hampir musnah keseluruhannya selepas kira-kira 90 peratus bangunan berkenaan terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.
Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 2.50 pagi itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kecederaan atau mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Mohd Sarizan Mohamad Sapawi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.57 pagi sebelum anggota bergegas ke lokasi.
Menurutnya, seramai 11 anggota BBP Setiu terbabit dalam operasi memadam kebakaran berkenaan.
Beliau berkata, operasi pemadaman berjaya ditamatkan pada jam 5.59 pagi.





