SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-13 (PRN13), manakala penamaan calon ditetapkan pada 28 November.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pengundian awal pula akan berlangsung pada 8 Disember ini, dengan writ pilihan raya dikeluarkan hari ini.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas SPR mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan persiapan dan urusan pelaksanaan PRN13 susulan pembubaran DUN Sarawak pada 26 Oktober lalu.

Beliau berkata, SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak berhubung pengisytiharan pembubaran berkenaan sebelum memutuskan pilihan raya diadakan bagi mengisi kesemua 82 kerusi yang dipertandingkan.
“Urusan permohonan semua kategori undi pos sama ada dalam atau luar negara sudah dibuka sejak 26 Oktober lalu,” katanya ketika mengumumkan tarikh penting PRN13 itu di Kuching hari ini, lapor BH.
Bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya, Ramlan berkata, SPR melantik 82 pegawai pengurus pilihan raya yang akan dibantu 305 penolong pegawai pengurus di seluruh negeri.
Selain itu, sebanyak 82 pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya turut ditubuhkan bagi memantau aktiviti sepanjang tempoh berkempen, dengan keanggotaan membabitkan wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan serta wakil calon bertanding.
Beliau berkata, PRN13 akan menggunakan daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan (DPT) September 2026 yang dikemas kini pada 25 Oktober lalu.
Daftar berkenaan mengandungi keseluruhan 2,058,781 pemilih, merangkumi 2,034,373 pengundi biasa, 13,575 anggota tentera dan pasangan serta 10,833 anggota polis, Polis Gerakan Am (PGA) dan pasangan.
Untuk rekod, DUN Sarawak dibubarkan secara rasmi pada 26 Oktober lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Pengumuman pembubaran itu dibuat Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 23 Oktober lalu, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan PRN13.
Mengikut Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sarawak, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.
Pada PRN ke-12 yang berlangsung pada 18 Disember 2021, Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh kemenangan besar apabila menguasai 76 daripada 82 kerusi dipertandingkan, manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) memenangi empat kerusi dan DAP dua kerusi.
Bagaimanapun, landskap politik negeri itu berubah selepas PSB dibubarkan pada 2024, dengan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti berkenaan menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP), salah satu komponen GPS.
Seorang lagi bekas ADUN PSB, See Chee How yang mewakili Batu Lintang pula meninggalkan parti dan menjadi ADUN Bebas.
GPS ketika ini terdiri daripada empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan PDP.





