SEORANG pengawal keselamatan maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh pokok tumbang di Kilometer 32 Lebuhraya Link Kedua di Kulai malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, seorang pekerja kilang yang menunggang sebuah lagi motosikal turut terbabit dalam kemalangan berkenaan dan mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan motosikal Honda Future ditunggang lelaki berusia 53 tahun dan Honda Beat ditunggang wanita berusia 25 tahun.
Katanya, kedua-dua mangsa yang juga warga tempatan ketika itu dalam perjalanan dari arah Senai menuju ke Plaza Tol Senai Utara.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kedua-dua penunggang berkenaan dipercayai tidak sempat mengelak lalu melanggar sebatang pokok yang tumbang di lorong kecemasan.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang Honda Future mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang Honda Beat mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa wanita kemudian dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menurutnya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 9.15 malam.
Kes ini katanya, disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Fatin Mohd Radzi menerusi talian 018-364 9199 bagi membantu siasatan.





