Belanjawan 2027 pacu agenda AI, rakyat perlu beralih daripada pengguna kepada pencipta teknologi

KEMENTERIAN Digital mempergiat usaha membangunkan bakat tempatan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan rakyat bukan sekadar menjadi pengguna, sebaliknya mampu menghasilkan teknologi dan penyelesaian digital sendiri.

Usaha itu selari dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi Negara AI menjelang 2030, menerusi pengukuhan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi yang turut diberi penekanan dalam Belanjawan 2027.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kementerian berperanan menyatukan kekuatan kerajaan, industri, akademia dan komuniti bagi membangunkan ekosistem digital serta AI yang lebih menyeluruh.

Menurutnya, tumpuan utama adalah melengkapkan bakat tempatan dengan kemahiran bertaraf dunia supaya mereka berupaya menghasilkan aplikasi dan penyelesaian teknologi buatan Malaysia.

“Fokus utama kementerian adalah melengkapkan bakat tempatan dengan kemahiran bertaraf dunia agar mereka beralih daripada sekadar mengetahui teknologi kepada membina aplikasi dan penyelesaian buatan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, matlamat kementerian adalah melahirkan lebih banyak penyelesaian teknologi tempatan yang mampu memberi manfaat kepada rakyat, memenuhi keperluan negara serta berpotensi menembusi pasaran lebih luas.

Bagi menjayakan agenda itu, Kementerian Digital menyelaras pelaksanaan menerusi beberapa agensi dan entiti berkaitan termasuk GovTech Malaysia, Jabatan Digital Negara (JDN), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MyDIGITAL Corporation dan AI Malaysia Berhad.

GovTech Malaysia berperanan memacu inovasi serta pembangunan penyelesaian digital sektor awam, manakala JDN memperkukuh tadbir urus dan penyelarasan pendigitalan kerajaan melalui penyediaan dasar, piawaian serta sokongan teknikal.

MDEC pula memberi tumpuan kepada pertumbuhan syarikat digital, pengkomersialan inovasi dan peluasan peluang pasaran kepada syarikat teknologi tempatan.

Sementara itu, MyDIGITAL Corporation membangunkan laluan pembelajaran dan penglibatan rakyat menerusi inisiatif seperti Rakyat Digital, Global Learning Pass, AI untuk Rakyat dan Rakyat Builders.

AI Malaysia Berhad pula menggerakkan pelaksanaan agenda AI kebangsaan dengan memberi penekanan kepada pembangunan ekosistem teknologi yang selamat, dipercayai dan bertanggungjawab.

Kementerian Digital turut bersedia memperluas kerjasama dengan syarikat tempatan, syarikat pemula, universiti, penyedia latihan dan komuniti teknologi bagi memperkukuh kepakaran, penyelidikan, pembangunan produk serta pemindahan ilmu.

Menurut kementerian, setiap pelaburan dan peruntukan fiskal kerajaan perlu diterjemahkan kepada hasil yang ketara, termasuk melahirkan lebih ramai pencipta teknologi bernilai tinggi, meningkatkan daya saing syarikat tempatan serta memastikan tadbir urus AI dilaksanakan secara selamat dan beretika.

Pelaksanaan agenda itu turut berpandukan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) dan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 di bawah kerangka Ekonomi MADANI serta Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here