KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang memantau laporan penampakan cahaya terang di beberapa kawasan ruang udara negara pada Rabu lalu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kemasukan semula sebuah satelit milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) ke atmosfera Bumi.
Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan, Bahagian Penguasa Angkasa (BPAngkasa) sudah menerima maklumat awal berhubung kejadian berkenaan pada hari sama.
Menurut MOSTI, pemantauan secara aktif sedang dilaksanakan oleh BPAngkasa dengan kerjasama agensi berkaitan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai fenomena itu.
“Pemantauan sedang dijalankan secara aktif oleh BPAngkasa dengan kerjasama agensi-agensi yang berkaitan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Penampakan cahaya berkenaan dipercayai berkaitan kemasukan semula Satelit Balai Cerap Neil Gehrels Swift milik NASA ke atmosfera Bumi.
Bagaimanapun, MOSTI menjelaskan pihaknya belum menerima sebarang laporan rasmi mengenai penemuan serpihan objek yang disyaki berasal dari angkasa, termasuk roket, di darat atau perairan Malaysia.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyentuh sebarang objek mencurigakan yang mungkin ditemui dan segera melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Laporan boleh disalurkan menerusi talian kecemasan 999 atau terus kepada BPAngkasa di talian 03-8885 8685 dan e-mel bpadg@mosti.gov.my.
“MOSTI turut menyeru orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan mendapatkan maklumat yang sahih daripada saluran rasmi,” menurut kenyataan itu.





