Manifesto BN–PN  terancang, PH perlu perkemas tawaran, Bersama sukar laksana janji

 

MANIFESTO Barisan Nasional–Perikatan Nasional (BN–PN), Pakatan Harapan (PH) dan Bersama yang ditawarkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini memperlihatkan perbezaan ketara dari segi keluasan agenda, ketelitian perancangan serta kemampuan menterjemahkan janji pilihan raya kepada dasar kerajaan.

Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Rusdi Omar berkata, manifesto bukan sekadar instrumen komunikasi politik, sebaliknya dokumen komitmen yang membolehkan pengundi menilai keupayaan sesebuah parti membentuk kerajaan.

Dr.Rusdi Omar

Beliau berkata, manifesto perlu dinilai berdasarkan kejelasan sasaran, kemampuan kewangan, tempoh pelaksanaan dan kebolehlaksanaan politik bagi memastikan setiap janji yang dikemukakan mempunyai asas untuk direalisasikan.

Katanya, manifesto BN–PN bertemakan Membina Masa Depan Melaka, Memakmurkan Negara menggariskan enam teras dengan 113 inisiatif yang merangkumi aspek kebajikan, tadbir urus, pelaburan, infrastruktur, pembangunan modal insan dan belia.

“Antara kekuatan yang diketengahkan ialah pembahagian komitmen kepada tiga tempoh pelaksanaan, iaitu 100 hari, setahun dan lima tahun.

“Pendekatan ini memberikan gambaran lebih jelas mengenai keutamaan dasar serta membolehkan pengundi menilai pencapaian kerajaan berdasarkan tempoh yang ditetapkan,” katanya dalam artikel disiarkan dalam Sinar Harian.

Beliau berkata, manifesto itu turut mengemukakan sasaran kuantitatif termasuk pembinaan 25,000 rumah mampu milik, pewujudan 25,000 peluang pekerjaan, latihan kepada lebih 15,000 graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta menarik pelaburan berjumlah RM30 bilion.

Menurut beliau, tawaran kebajikan seperti pemberian air percuma bagi penggunaan domestik di bawah 20 meter padu sebulan, bantuan pendidikan dan pembekuan kenaikan kadar cukai tanah selama lima tahun juga memberikan penekanan kepada keperluan harian rakyat.

“Pengalaman pentadbiran serta penggunaan institusi kerajaan sedia ada turut menjadi antara faktor yang boleh membantu pelaksanaan dasar, khususnya bagi inisiatif yang mempunyai kesinambungan daripada pentadbiran terdahulu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, sasaran besar seperti pembinaan rumah, pewujudan pekerjaan dan kemasukan pelaburan masih memerlukan perincian dari segi pembiayaan, kapasiti pelaksana serta mekanisme pemantauan.

Mengulas manifesto PH bertemakan Aspirasi Melaka Rumah Kita, Rusdi berkata, dokumen setebal empat halaman itu menggariskan tiga keutamaan dan 12 aspirasi, termasuk pembangunan bandar pintar, pekerjaan berkualiti, kebajikan rakyat, perumahan serta integriti pentadbiran.

Katanya, walaupun bidang yang diketengahkan relevan dengan keperluan negeri, kebanyakan cadangan masih bersifat umum kerana tidak disertakan sasaran khusus, anggaran kewangan atau garis masa pelaksanaan.

“PH ada mengemukakan beberapa komitmen khusus, antaranya memperuntukkan 30 peratus kontrak kerja pihak berkuasa tempatan kepada golongan belia dan beliawanis serta menyasarkan 25 juta kunjungan pelancong menjelang 2032.

“Namun, beberapa cadangan lain seperti penyediaan rumah selesa dan pewujudan pekerjaan berkualiti masih belum memperincikan jumlah sasaran, kategori penerima, sektor pertumbuhan utama atau mekanisme pembiayaan,” katanya.

Beliau berkata, kekurangan perincian itu boleh menyukarkan pengundi menilai bagaimana janji berkenaan akan dilaksanakan serta diukur keberhasilannya sekiranya PH diberikan mandat membentuk kerajaan negeri.

Sementara itu, mengulas manifesto Bersama, beliau berkata, parti berkenaan mengemukakan dokumen setebal 24 halaman yang memberi penekanan kepada reformasi institusi, kemampanan fiskal, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, antara cadangan yang dikemukakan ialah meningkatkan hasil negeri sebanyak lima peratus berbanding pertumbuhan perbelanjaan tiga peratus, memperkenalkan lembaga tender bebas bagi kontrak melebihi RM10 juta serta meningkatkan perbelanjaan program sosioekonomi rakyat kepada sekurang-kurangnya 30 peratus.

Katanya, Bersama turut mencadangkan program perlindungan kesihatan bernilai RM500 setahun bagi isi rumah layak dengan anggaran peruntukan RM28 juta, selain menyediakan RM30 juta setahun untuk program peningkatan sekolah.

“Cadangan berkenaan memperlihatkan penekanan kepada reformasi institusi dan pengurusan kewangan negeri, selain mengemukakan beberapa sasaran yang boleh diukur,” katanya.

Bagaimanapun, Rusdi berkata, cabaran utama Bersama ialah kebolehlaksanaan politik memandangkan parti itu hanya mempertandingkan 16 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Beliau berkata, untuk membentuk kerajaan secara bersendirian, Bersama memerlukan sekurang-kurangnya 15 kemenangan, sekali gus menjadikan pembentukan kerajaan bergantung kepada sejauh mana parti itu memperoleh sokongan pengundi.

“Selain itu, cadangan seperti memperkenalkan tujuh ADUN tambahan melalui sistem perwakilan berkadar dan mendapatkan perkongsian hasil Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) memerlukan penelitian perundangan serta kerjasama pihak berkuasa berkaitan.

“Justeru, pelaksanaan sebahagian agenda berkenaan turut bergantung kepada kedudukan parti dalam pembentukan kerajaan dan persetujuan pihak berkaitan,” katanya.

Menurut beliau, perbandingan ketiga-tiga manifesto itu memperlihatkan pendekatan berbeza dalam menawarkan hala tuju pembangunan Melaka, khususnya dari segi perancangan dasar, komitmen kewangan dan keupayaan pelaksanaan.

Katanya, pengundi perlu meneliti bukan sahaja jumlah janji yang ditawarkan, tetapi juga sejauh mana setiap parti mempunyai perancangan, sumber dan mekanisme yang jelas untuk menunaikannya selepas pilihan raya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here