TAKTIK menyembunyikan dadah dalam kasut sekali lagi dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong apabila seorang lelaki ditahan selepas kira-kira satu kilogram bahan disyaki kokain ditemukan dalam kasut dipakainya.
Lelaki tempatan berusia 36 tahun itu ditahan ketika pemeriksaan kastam terhadap penumpang yang tiba dari Kuala Lumpur pada Rabu lalu.
Kastam Hong Kong dalam kenyataan pada hari sama memaklumkan, pemeriksaan terhadap lelaki terbabit membawa kepada penemuan bahan disyaki kokain seberat kira-kira satu kilogram yang disembunyikan dalam kasutnya.
“Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai HK$600,000 (kira-kira RM311,000) dan siasatan kes masih dijalankan,” menurut kenyataan itu.
Penahanan terbaharu itu menambah senarai kes penyeludupan dadah menggunakan taktik menyembunyikan bahan terlarang dalam kasut, khususnya membabitkan penumpang yang tiba dari Kuala Lumpur.
Pada 16 September lalu, seorang lelaki warga China berusia 29 tahun turut ditahan di Hong Kong selepas dipercayai cuba membawa masuk satu kilogram kokain yang disembunyikan dalam kasutnya.
Kastam Hong Kong turut merekodkan dua kes hampir sama pada 7 dan 15 Julai lalu, masing-masing membabitkan rampasan kira-kira satu kilogram bahan disyaki kokain daripada penumpang yang tiba dari Kuala Lumpur.
Malah, pada 17 Mei lalu, dua penumpang lain dari Kuala Lumpur ditahan dalam kes berasingan selepas pemeriksaan menemukan bahan disyaki kokain seberat 820 gram dan 800 gram dalam kasut mereka.
Modus operandi berkenaan turut dikesan di negara lain apabila lima rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, pada 10 Oktober lalu selepas kira-kira lima kilogram kokain ditemukan dalam pelapik kasut mereka.
Di Indonesia pula, lima rakyat Malaysia yang tiba dari Kuala Lumpur ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada September lalu selepas kira-kira 5.2 kilogram dadah etomidate ditemukan disembunyikan dalam tapak kasut.
Sementara itu, Kastam Hong Kong mengingatkan orang ramai supaya tidak menerima tawaran atau arahan pihak lain untuk membawa barangan terkawal masuk atau keluar dari wilayah itu sebagai balasan wang.
Mengikut Ordinan Dadah Berbahaya Hong Kong, kesalahan mengedar dadah boleh membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan denda HK$5 juta (kira-kira RM2.59 juta), jika sabit kesalahan.





