UMNO Negeri Sembilan menafikan dakwaan parti itu berusaha menurunkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir susulan kemelut politik dan Perlembagaan yang melanda negeri itu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pendirian parti untuk tidak lagi memberikan sokongan kepada Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Aminuddin Harun sejak 27 April lalu tidak pernah bermaksud mahu menggugat kedudukan institusi diraja.
Sebaliknya, beliau menyifatkan dakwaan yang tersebar, khususnya menerusi media sosial, sebagai salah faham terhadap pendirian sebenar UMNO.
“Sejak 27 April lalu apabila kita mengambil keputusan untuk tidak bersama memberikan sokongan kepada Menteri Besar (Datuk Seri Aminuddin Harun) bukan mempunyai matlamat menjatuhkan Tuanku.
“Tidak. Itu sudah disalahertikan dan disalahfahamkan oleh pihak-pihak tertentu. Kita tidak pernah dusta. Pendirian parti politik ialah bekerja, untuk memperkukuh urus tadbir kerajaan dan tidak mencampuri sebarang urusan yang berkaitan dengan institusi adat dan raja.
“Pendirian kita ialah mempertahankannya (institusi raja/istana) supaya ia tidak diperlekeh oleh pihak-pihak tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di Wisma UMNO di Seremban hari ini, lapor BH.
Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang turut mengesahkan beliau menghadap Tuanku Muhriz bulan lalu, namun menegaskan pertemuan itu tidak seharusnya dikaitkan dengan pelbagai spekulasi yang berlegar.
Menurutnya, sesi menghadap itu dilakukan atas kapasiti beliau sebagai ketua parti di peringkat negeri dan merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipatuhi apabila menerima titah daripada Tuanku.
“Apabila saya dititah menghadap oleh Tuanku Muhriz, saya akan taat dan akur dan sebagai rakyat, apa lagi sebagai ketua parti, saya akan taat,” katanya.
Beliau pada masa sama yakin kemelut Perlembagaan yang sedang berlaku mampu diselesaikan sekiranya semua pihak memberikan kerjasama dan menyumbang ke arah kebaikan negeri.
Menyentuh perancangan mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027, Jalaluddin berkata, perkara itu akan diuruskan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
Katanya, Ismail sudah memaklumkan mengenai perancangan berkenaan dan berusaha memastikan persidangan DUN dapat berlangsung mengikut jadual, memandangkan ia turut membabitkan pembentangan belanjawan negeri.
“Insya-Allah YAB Menteri Besar sedang berusaha menjurus ke arah itu supaya sidang DUN dapat kita jalankan,” katanya.
Jalaluddin turut menegaskan Tuanku Muhriz dijadualkan merasmikan persidangan berkenaan sekali gus menolak sebarang persoalan mengenai pihak lain yang akan menjalankan tugas itu.
Mengulas pertemuan beberapa ADUN dengan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar baru-baru ini, beliau berkata, perkara itu tidak dimaklumkan kepadanya dan setakat pengetahuannya tidak membabitkan wakil rakyat UMNO atau BN.
“Setakat ini saya tidak dimaklumkan (mengenai pertemuan itu) dan apa yang saya tahu ia tidak membabitkan ADUN daripada UMNO dan Barisan Nasional.
“Saya tidak tahu apa perkara yang berlaku (dibincangkan),” katanya.
Selasa lalu, Ismail memaklumkan kerajaan negeri kekal dengan perancangan mengadakan Persidangan DUN pada 26 November ini, diikuti pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 pada keesokan harinya.




