JAIS mahu hantaran lama Aliff Daniel dipadam, beri ruang keluarga mulakan kehidupan baharu

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) meminta orang ramai menurunkan segera sebarang hantaran lama berkaitan Aliff Daniel Adli yang masih tersebar di media sosial bagi mengelakkan jejak digital berkenaan terus memberikan gambaran negatif terhadap dirinya dan keluarga.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, permintaan itu dibuat sebagai tanda sokongan kepada Aliff Daniel serta ahli keluarganya yang sudah mengisytiharkan taubat dan berhasrat kembali menjalani kehidupan berlandaskan ajaran Islam.

Beliau berkata, Aliff Daniel mengaku bersalah atas perbuatannya di mahkamah pada 4 November lalu sebelum dijatuhi hukuman memasuki pusat pemulihan akidah selama tiga bulan.

Menurutnya, sehari selepas itu, Aliff Daniel bersama ibu dan adiknya turut melakukan pengisytiharan taubat atas perbuatan mereka.

“Sehubungan itu, JAIS amat berharap mana-mana hantaran berkaitan Aliff Daniel dalam media sosial yang bukan di bawah kawalannya diturunkan segera.

“Syor ini dibuat bagi memberi sokongan kepada Aliff Daniel dan keluarga yang sudah kembali ke pangkal jalan.

“Mereka mahu mengikuti jalan Islam sebenar dengan tenang tanpa jejak digital yang memberi gambaran buruk kepada Aliff Daniel, keluarga, pihak berkuasa agama, umat Islam dan agama Islam itu sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan turut berharap masyarakat dapat memainkan peranan dengan mengamalkan sikap bersangka baik sesama Islam, menjaga maruah dan saling menghormati.

Katanya, persekitaran yang positif dan saling menyokong penting bagi membantu Aliff Daniel serta keluarganya meneruskan kehidupan ke arah kebaikan.

Terdahulu, Aliff Daniel, 21, menjadi perhatian selepas tular melakukan ritual agama lain sebelum tampil membuat pengisytiharan taubat atau Istitabah secara terbuka.

Turut melakukan pengisytiharan taubat ialah ibunya, Rohizayanti Ramli, 52, dan adiknya, Nur Ranea Ezreen, 19.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here