TAHAP keselamatan siber negara kekal terkawal pada paras sederhana meskipun beberapa institusi kewangan dilaporkan berdepan insiden keselamatan siber dan gangguan sistem sejak kebelakangan ini.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata, Tahap Ancaman Keselamatan Siber Negara (NCTL) ketika ini masih berada pada tahap sederhana, manakala pemantauan terhadap perkembangan semasa dilaksanakan secara berterusan.

Menurut kenyataan itu, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menerusi Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara (NC4) sedang menyelaras pemantauan bagi memastikan sebarang ancaman dapat dikenal pasti dan ditangani dengan segera.
NACSA turut mengambil maklum mengenai insiden keselamatan siber serta gangguan sistem yang membabitkan beberapa institusi kewangan dan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkaitan bagi meneliti perkembangan berkenaan.
“Bank Negara selaku ketua sektor perbankan dan kewangan sedang melaksanakan langkah kesiapsiagaan yang menyeluruh dan bersepadu termasuklah pemantauan berterusan perkembangan tahap keselamatan siber entiti infrastruktur maklumat kritikal negara (NCII) di bawahnya.
“NACSA turut bekerjasama dengan ketua sektor dan entiti NCII bagi memastikan sebarang ancaman dapat dikesan dan ditangani dengan segera, serta perkhidmatan penting negara terus beroperasi dengan lancar,” menurut kenyataan MKN.
Dalam pada itu, MKN menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat berkaitan dakwaan serangan siber yang belum disahkan, khususnya kandungan yang tular dalam media sosial.
Sebaliknya, orang ramai diminta mendapatkan maklumat tepat menerusi saluran rasmi kerajaan, Bank Negara Malaysia (BNM) serta institusi kewangan masing-masing.
MKN, Jabatan Perdana Menteri dan NACSA turut memberi jaminan akan menyalurkan perkembangan terkini berhubung situasi keselamatan siber negara dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi MKN.





