Sembilan individu ditahan susulan kematian remaja ditikam di Sibu

SEBANYAK sembilan individu berusia antara 16 hingga 42 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang dipercayai ditikam dalam kejadian pergaduhan di sebuah taman awam di Jalan Gambir, Sibu awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kesemua individu terbabit ditahan di beberapa lokasi sekitar Sibu dalam operasi antara jam 10 pagi hingga 4 petang.

Menurutnya, tangkapan itu dilakukan hasil risikan dan siasatan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu.

Beliau berkata, polis menerima laporan kira-kira jam 2 pagi berhubung kejadian pergaduhan yang turut menyaksikan pengadu dipukul sekumpulan individu.

“Dalam kejadian itu, seorang lelaki dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Sibu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Abang Zainal Abidin berkata, kejadian berkenaan turut tular dalam media sosial Facebook.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.

Terdahulu, mangsa dilaporkan maut selepas dipercayai mengalami kecederaan tikaman pada bahagian dada menggunakan senjata tajam dalam kejadian kira-kira tengah malam.

Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here