Video lelaki acu pistol kejar kereta: Polis sahkan operasi buru suspek

TINDAKAN seorang lelaki memegang objek menyerupai pistol sambil mengejar sebuah kereta di persimpangan Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur yang tular dalam media sosial, dipercayai membabitkan anggota polis yang sedang menjalankan operasi memburu suspek jenayah.

Kejadian pada Sabtu lalu itu berlaku ketika sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menjalankan Op Tapis Khas dan mengesan sebuah kereta Honda Accord berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, kejadian bermula kira-kira jam 6.30 petang apabila anggota polis menghampiri kenderaan berkenaan untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, pemandu kereta itu bertindak melarikan diri secara berbahaya sehingga melanggar sebuah Honda City berwarna biru.

“Ketika polis menghampiri kenderaan itu untuk pemeriksaan, pemandunya bertindak memandu secara melulu dan melanggar sebuah Honda City biru bagi meloloskan diri.

“Pada jam 6.40 petang, polis berjaya mengesan semula kereta berkenaan di persimpangan Jalan Sultan Salahuddin sebelum bertindak mengejarnya,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurutnya, dua lelaki kemudian keluar dari Honda Accord berkenaan sebelum melarikan diri.

Pemeriksaan awal terhadap kenderaan itu bagaimanapun tidak menemukan sebarang barangan yang menyalahi undang-undang, manakala polis kini giat mengesan kedua-dua lelaki terbabit bagi membantu siasatan.

Terdahulu, video berdurasi satu minit 13 saat yang dimuat naik di platform Threads memaparkan seorang lelaki memegang objek menyerupai pistol sambil mengejar sebuah kereta di persimpangan jalan ketika lampu isyarat merah.

Rakaman itu mengundang perhatian pengguna media sosial dan mencetuskan pelbagai persoalan berhubung identiti serta tindakan lelaki berkenaan.

Polis mengesan video berkenaan semalam dan mengesahkan kejadian itu berlaku sehari sebelumnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0522 atau 03-2146 0585, Pusat Kawalan Daerah IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here