PRN Melaka: Anwar rayu anggota tentera, polis beri mandat kepada PH

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunaikan undi awal esok supaya memberikan kepercayaan kepada calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau yang juga Pengerusi PH berkata, undi warga pasukan keselamatan itu mempunyai peranan penting dalam menentukan kepimpinan serta hala tuju pentadbiran negeri berkenaan.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau mengingatkan bahawa mandat diberikan pengundi perlu berpaksikan kepercayaan terhadap pihak yang mampu memikul amanah rakyat.

“Undi saudara dan saudari akan menentukan sama ada Melaka dipimpin oleh mereka yang teguh mempertahankan amanah rakyat atau mereka yang sanggup menutup mata apabila amanah itu dikhianati,” katanya dalam hantaran itu malam ini.

Beliau turut memberi jaminan bahawa PH bersedia memikul tanggungjawab sekiranya diberikan mandat untuk mentadbir Melaka, selain berikrar memberikan perkhidmatan demi kesejahteraan seluruh rakyat negeri itu.

“Dengan rendah hati, saya memohon kepercayaan saudara dan saudari untuk mengundi calon HARAPAN. Amanah ini akan kami galas dengan iltizam dan tekad untuk berkhidmat kepada seluruh rakyat Melaka,” katanya.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 12,531 pengundi layak menunaikan undi awal PRN Melaka, membabitkan 9,769 anggota tentera dan pasangan serta 2,762 anggota polis termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA).

Sebanyak 31 pusat mengundi awal dibuka di seluruh negeri bagi melancarkan proses pengundian membabitkan anggota pasukan keselamatan berkenaan.

Hari pengundian PRN Melaka pula ditetapkan pada 14 November ini.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here