Isu tahanan rumah Najib: KDN tunggu keputusan mahkamah

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan tafsiran sebenar perintah berkaitan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu penting bagi menjernihkan kekeliruan berhubung penggunaan istilah ‘order of discharge‘ dalam dokumen mahkamah yang membawa maksud pelepasan, sedangkan keputusan Lembaga Pengampunan menetapkan Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.

Menurutnya, kedua-dua istilah itu mempunyai implikasi perundangan berbeza kerana pelepasan bermaksud Jabatan Penjara tidak lagi mempunyai kuasa terhadap banduan, manakala tahanan rumah masih meletakkan individu berkenaan di bawah bidang kuasa jabatan itu.

Beliau berkata, KDN perlu mendapatkan kepastian mengenai perkara tersebut sebelum melaksanakan sebarang tindakan bagi mengelakkan implikasi perundangan.

“Kalau ada dua interpretasi, mahkamah adalah platform terbaik. Jadi, KDN akan akur dan menghormati proses itu.

“Titah Yang di-Pertuan Agong adalah melalui keputusan Lembaga Pengampunan. Kita sudah menerima surat itu dan kita akur,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus dan Dialog Nelayan Bersama Dengan Menteri Dalam Negeri di Pangkalan Nelayan Lereh Tanjung Kling, Melaka hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, sekiranya tahanan rumah dilaksanakan, status Najib kekal sebagai banduan yang sedang menjalani baki hukuman, cuma lokasi tahanannya dipindahkan dari Penjara Kajang ke tempat yang diwartakan.

Bagaimanapun katanya, jika perintah mahkamah membawa maksud pelepasan maka Jabatan Penjara tidak lagi mempunyai kuasa untuk menahan beliau.

“Kalau betul mahkamah kata pelepasan, maknanya penjara kena lepaskan beliau. Sebaliknya, jika kita hantar ke tahanan rumah, ia boleh menimbulkan isu penahanan tidak sah.

“Sebab itu biarlah mahkamah menentukan kerana terdapat perbezaan dari segi kefahaman,” katanya.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here