
SELAIN daripada isu dokumen perintah mahkamah terhadap pelaksanaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Tun Razak yang dianggap oleh Jabatan Peguam Negara, pakar undang-undang dan pengamal undang-undang mempunyai kecacatan, kesilapan dan kekeliruan, turut menjadi perhatian ialah gesaan pelbagai pihak supaya pihak berkuasa menyiasat sumber wang RM50 juta bagi membayar denda bekas Perdana Menteri tersebut.
Pada dasarnya semua orang tahu wang itu adalah hasil kutipan melalui Tabung Solidariti Najib yang dilancarkan oleh UMNO pada 18 September lalu dengan membuka akaun khas bagi tujuan tersebut. Ketika itu ramai tertanya-tanya mampukah UMNO mencapai sasaran RM50 juta tetapi ternyata dalam tempoh tak sampai 50 hari pada 6 November, wang tersebut sudah mencukupi.
Sememangnya ia sesuatu yang mengagumkan jika benar wang itu datang daripada ahli-ahli UMNO, penyokong parti itu dan rakyat yang bersimpati. Namun ia belum mampu menutup sebarang spekulasi atau dakwaan terhadap sumber wang berkenaan.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan parti itu terbuka untuk diaudit kerana semua wang masuk akaun khas.
Berikutan kesediaan UMNO tersebut dan terwujudnya desakan supaya pihak berkuasa seperti SPRM dan PDRM menyiasat sumber wang berkenaan maka adalah wajar jika siasatan dijalankan. Bukan untuk mencari kesalahan tetapi untuk memastikan wang berkenaan benar-benar datang bukan dari sumber meragukan.
Ia memandangkan ada dakwaan bahawa wang itu sumbangan kontraktor yang terlibat dengan projek Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan lebih menarik lagi ada pula mengaitkan ia dengan sumbangan daripada taikun Indonesia, Peter Sodakh. Mungkin itu sekadar dakwaan tetapi UMNO bertanggungjawab untuk membuat penjelasan supaya tidak timbul lebih banyak spekulasi yang boleh menjejaskan parti berkenaan.
Dakwaan seperti itu sudah tentulah tidak baik untuk UMNO yang sering sahaja dikaitkan dengan isu integriti. Lagipun ada cakap-cakap yang mendakwa dalam kalangan pemimpin parti itu ada yang tidak bersetuju dengan langkah mengutip derma untuk Najib memandangkan bekas Perdana Menteri itu dihukum kerana salah guna kuasa dan pecah amanah dalam kes dana SRC International.
Itulah soal dalaman UMNO tetapi dari segi imej kepada rakyat maka adalah penting jika UMNO sendiri mendedahkan secara terperinci sumbangan yang diterima tanpa perlu menunggu SPRM atau PDRM ‘mengetuk pintu’.
UMNO tidak boleh sekadar menyatakan bersedia diaudit tetapi tidak berusaha menghentikan spekulasi, dakwaan atau mungkin juga tohmahan berhubung sumber wang yang diterima.
Atas sebab itulah penulis berpendapat demi mengelakkan fitnah dan membuktikan ketelusan UMNO paparkan siapakah penderma-penderma tersebut. Cukup kalau dedahkan penerima-penerima terbesar supaya orang menilai ‘kemunasabahan’ bagaimana RM50 juta boleh dikumpulkan dalam tempoh tak sampai 50 hari.
Jumlah RM50 juta bukan sikit sehingga ramai beranggapan UMNO sukar mencapai kutipan sebanyak itu. Bayangkan RM50 juta macam-macam boleh buat untuk rakyat tetapi tak apalah, itu soal UMNO mahu menunjukkan semangat setia kawan kepada bekas pemimpin utama mereka tetapi dedahlah siapa penyumbangnya.





