TIGA daripada lapan individu yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian kepala air di Sungai Pertak, Hulu Selangor, masih belum ditemukan setakat pagi ini selepas lima mangsa disahkan meninggal dunia.
Empat lagi mangsa ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pagi ini, menjadikan jumlah mangsa yang ditemukan setakat ini lima orang.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, tiga mangsa ditemukan tersekat di kawasan Jambatan Senget berhampiran Camp Site Sungai Luit kira-kira jam 9.20 pagi.
“Seorang lagi mangsa ditemukan berhampiran kawasan sama pada jam 10.20 pagi, kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi kejadian.
“Semua mangsa kini dalam usaha dikeluarkan oleh anggota pasukan SAR,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini, lapor Sinar Harian.
Terdahulu, seorang lelaki tempatan dikenali sebagai V Vijayan, 36, ditemukan meninggal dunia berhampiran Jambatan Pertak kira-kira jam 1.30 pagi tadi.
Menurut Ashrul Riezal, operasi SAR diteruskan dengan pencarian dibahagikan kepada empat sektor, meliputi kawasan Lata Jebus hingga Lubuk Pertak, Lubuk Pertak hingga Jambatan Dam, kawasan Jambatan Dam serta empangan.
Dalam kejadian petang Isnin, lapan individu dilaporkan dihanyutkan arus deras susulan kepala air di beberapa lokasi sekitar Sungai Pertak.
Mangsa yang dilaporkan hilang terdiri daripada seorang warga Yaman, empat warga India, seorang warga Nepal, seorang warga Sri Lanka dan seorang lelaki tempatan.
Selain itu, beberapa kumpulan pengunjung turut dilaporkan terkandas di kawasan Lata Jebus, Kem Sungai Luit dan Gunung Rajah.
Operasi SAR dijalankan JBPM dengan bantuan beberapa agensi penyelamat lain.





