BARISAN Nasional (BN) dan UMNO dinasihatkan agar mengambil pendekatan terbuka dan telus berhubung isu sumber kewangan berjumlah RM50 juta yang digunakan bagi membayar denda Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani perintah tahanan rumah.
Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata, kegagalan menjelaskan asal-usul wang berkenaan secara terbuka berisiko tinggi menjejaskan keyakinan rakyat serta merencatkan usaha pemulihan imej parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Menurut beliau, mendepani landskap politik pasca-PRU15, era kini didominasi oleh kebangkitan pengundi muda yang celik maklumat serta amat sensitif terhadap aspek integriti dan tata kelola kewangan.

“Mana-mana pihak yang tidak telus akan membuka ruang seluas-luasnya kepada spekulasi, teori konspirasi dan juga tohmahan-tohmahan oleh pihak tertentu,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.
Kontroversi mengenai dana berjumlah RM50 juta ini timbul di tengah-tengah usaha kepimpinan UMNO untuk membina semula keyakinan rakyat selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Keperluan mendesak untuk penjelasan terbuka ini didorong oleh landskap politik baharu yang didominasi oleh pengundi muda serta masyarakat sivil yang semakin prihatin terhadap aspek tadbir urus baik (good governance), akauntabiliti, serta pencegahan rasuah dalam arena politik tanah air.
Dr Mazlan turut memberi amaran bahawa jika UMNO memilih mengambil pendirian defensif dan menutup sumber kutipan terbabit, parti tertentu dikhuatiri akan mengeksploitasi naratif tersebut dengan mendakwa UMNO masih mengamalkan budaya politik lama atau patronage politics.
Dari sudut akauntabiliti politik, beliau berpandangan bahawa langkah terbaik bagi UMNO adalah memperincikan struktur sumbangan terbabit secara terbuka kepada umum.
“Wajar sekali untuk UMNO memperincikan dana tersebut… misalannya menyatakan secara telus peratusan yang datang dari dana rasmi parti, daripada akar umbi, penyokong, ahli-ahli UMNO, mahupun sumbangan daripada sektor swasta korporat yang bersimpati,” katanya.
Walaupun Malaysia belum mempunyai undang-undang pendanaan politik yang komprehensif, pendedahan telus ini penting bagi menangkis dakwaan kewujudan quid pro quo (balasan kepentingan politik atau perniagaan) serta mematikan tanggapan negatif pengundi atas pagar.
Mengulas mengenai desakan agar pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti aliran dana berkenaan, Dr Mazlan melihat ia dari sudut positif sebagai satu proses audit perundangan yang bebas.
“Langkah ini sebenarnya bukan mahu mencari kesalahan, sebaliknya bertindak sebagai proses audit undang-undang yang bebas dan secara tak langsung polis, PDRM dan juga SPRM ini boleh membersihkan imej UMNO daripada tuduhan pihak-pihak tertentu,” jelasnya.
Beliau menambah, sekiranya siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) atau Akta SPRM mendapati tabung berkenaan bersih dan mematuhi peruntukan undang-undang, ia sekali gus akan membersihkan nama parti daripada sebarang tohmahan musuh politik.
Menurutnya, biar pun isu ini mencetuskan perdebatan dan ketegangan politik, pendekatan berani untuk tampil telus dan menyerahkan kepada proses audit pihak berkuasa adalah jalan terbaik dalam memelihara kestabilan serta integriti pentadbiran politik di Malaysia.




