SEORANG wanita yang juga bekas pengurus sebuah premis pajak gadai di daerah Johor Bahru dipercayai menjadi dalang kejadian pecah masuk premis berkenaan sehingga mengakibatkan kerugian barang kemas dan wang tunai berjumlah RM28.4 juta, Jumaat lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek berusia 44 tahun itu dipercayai memasuki premis melalui pintu hadapan pada jam 11.42 pagi sebelum melarikan barang kemas dan wang tunai melalui pintu belakang.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan tujuh individu terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 29 hingga 48 tahun.
“Mereka ditahan secara berasingan di sekitar Kota Tinggi dan Johor Bahru antara 7 hingga 8 November lalu bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini, lapor Harian Metro.
Susulan penahanan itu, polis merampas 2,891 barang kemas, wang tunai berjumlah RM27,371, dua keping resit pajak gadai, dua rangkai kunci, dua beg silang serta sebuah telefon bimbit.
Ab Rahaman berkata, siasatan mendapati kejadian dipercayai dilakukan bagi menghapuskan bukti kegiatan pecah amanah yang dilakukan bekas pengurus berkenaan.
“Kebanyakan barang kemas yang dilarikan adalah barang kemas palsu yang dipajak oleh rakan suspek menggunakan identiti pemajak tidak wujud bagi mendapatkan wang syarikat,” katanya.
Beliau berkata, semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua mereka didapati negatif dadah.
Empat suspek direman selama tujuh hari bermula 8 hingga 14 November, manakala tiga lagi direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk dan Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.





