SEBANYAK 34 individu daripada empat kumpulan berasingan berada di kawasan Tapak Berkelah Sungai Pertak, Kampung Orang Asli Pertak di Kuala Kubu Bharu ketika kejadian kepala air petang semalam, dengan lapan dihanyutkan arus manakala 26 lagi terselamat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Wan Md Razali Wan Ismail berkata, tujuh mangsa yang dihanyutkan arus adalah daripada sekumpulan 14 individu yang berada di kawasan berkenaan.
“Daripada jumlah itu, tiga berjaya menyelamatkan diri manakala empat lagi diselamatkan anggota bomba.
“Tujuh individu dihanyutkan arus, termasuk seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Md Razali berkata, seorang lagi mangsa yang dihanyutkan arus ialah lelaki warga Yaman berusia 20 tahun daripada kumpulan lima individu.
“Empat rakannya berjaya menyelamatkan diri, manakala dua kumpulan lain yang masing-masing terdiri daripada tujuh dan lapan individu tidak dihanyutkan arus.
“Kesemua 15 individu daripada dua kumpulan berkenaan berjaya diselamatkan anggota bomba,” katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhan, 19 individu diselamatkan pasukan bomba manakala tujuh lagi berjaya menyelamatkan diri.
“Operasi menyelamat 19 individu yang terperangkap akibat kepala air berjaya dilaksanakan pada jam 12.16 tengah malam tadi.
“Semua mangsa yang diselamatkan dibawa menyeberangi sungai ke kawasan selamat,” katanya.
Sementara itu, lima daripada lapan mangsa yang dihanyutkan arus sudah ditemukan, manakala operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan bagi mengesan tiga lagi mangsa.





