SEORANG lelaki ditemukan maut dipercayai dibunuh seorang lagi penghuni di sebuah pusat penjagaan dan rawatan pesakit mental di Taman Kempas, Sungai Petani semalam.
Mangsa, Mohd Zulkiflee Zainuddin, 42, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7 malam sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk proses bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 51 tahun yang turut menetap di pusat berkenaan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu ditempatkan di pusat penjagaan berkenaan oleh keluarga masing-masing.
“Bagaimanapun, tempoh mereka menetap di pusat berkenaan masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil bedah siasat yang dijalankan di HSB kira-kira jam 11 pagi tadi mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian dada.
Mangsa yang berasal dari Machang, Kelantan turut dilaporkan mempunyai sejarah penyakit skizofrenia, kata beliau.
Sementara itu, Hanyan berkata, semakan mendapati suspek berasal dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang dan mempunyai 15 rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah serta narkotik.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek dijangka dibuat esok dan berkemungkinan dijalankan di hospital.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.





