Ahmad Zahid syukur Najib dapat bersama keluarga, harap polemik berakhir

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap keputusan mahkamah membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah dapat menamatkan polemik berpanjangan berhubung Titah Adendum.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, perkembangan berkenaan membawa makna besar kepada kepemimpinan dan ahli UMNO serta Barisan Nasional (BN), termasuk mereka yang selama ini mendoakan Najib dapat kembali bersama keluarganya.

“Mudah-mudahan apa yang sedang dan sudah berlaku ini memberi pengajaran kepada kita semua, sama ada sebagai pengamal undang-undang ataupun pihak yang menjaga perundangan, supaya mematuhi titah dan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Ini kerana dalam perundangan, perkara termaktub dalam Perlembagaan adalah prinsip yang mesti dipatuhi. Mudah-mudahan kita tutup buku terhadap kewujudan polemik ini, dan tidak ada lagi polemik selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kemakmuran Pekebun Kecil dan Hari Terbuka RISDA Negeri Melaka 2026 di Universiti Kolej Agrosains Malaysia (UCAM), Ayer Pa’abas di Alor Gajah hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid menzahirkan rasa syukur susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah berkuat kuasa serta-merta.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong yang mempengerusikan Lembaga Pengampunan serta memutuskan supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukumannya di rumah.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengucapkan terima kasih kepada kepemimpinan UMNO di semua peringkat, ahli parti serta rakyat Malaysia yang menyumbang menerusi kutipan derma awam sehingga berjaya mengumpulkan RM50 juta bagi memenuhi syarat pembayaran denda yang dikenakan terhadap Najib.

Ahmad Zahid turut mendoakan agar segala urusan Najib dipermudahkan dan bekas Perdana Menteri itu dapat menjalani kehidupan dengan tenang bersama keluarganya.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here