Kamaruddin sah terima surat penamatan jawatan Exco Kelantan

PENGERUSI Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor mengesahkan menerima surat penamatan pelantikannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) hari ini.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas itu enggan mendedahkan kandungan surat berkenaan dan meminta semua pihak menunggu penjelasan lanjut yang akan dibuat esok.

“Apa yang boleh saya sahkan ialah saya menerima surat itu hari ini tetapi saya tidak akan mendedahkan butirannya buat masa ini.

“Saya akan bercakap mengenai perkara itu pada sidang media esok,” katanya, lapor BH.

Kamaruddin yang memegang portfolio Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan turut menyifatkan keputusan berkenaan tidak akan memberi kesan kepada Bersatu.

Media semalam melaporkan Kamaruddin menyedari khabar angin mengenai kemungkinan penamatannya sebagai Exco, namun ketika itu masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada kerajaan negeri.

Beliau telah menganggotai barisan Exco Kelantan sejak Ogos 2023 dan menerajui Bersatu negeri itu sejak kira-kira 10 tahun lalu.

Perkembangan itu berlaku ketika hubungan politik antara Pas dan Bersatu, dua parti utama dalam Perikatan Nasional (PN), berdepan ketegangan susulan keretakan kerjasama antara kedua-dua parti.

Pada 8 Jun lalu, Pas mengumumkan keputusan menamatkan semua kerjasama politik dengan Bersatu selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

Keputusan itu turut menimbulkan persoalan mengenai kedudukan wakil Bersatu yang memegang jawatan dalam kerajaan negeri pimpinan Pas termasuk di Kelantan.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud difahamkan akan mengadakan sidang media khas esok bagi menjelaskan perkara berkenaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here